[VIDEO] Si jelita Afifah Balqis jadi tahanan kes rasuah paling muda


  • Benua
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Afifah Balqis mencatat namanya dalam sejarah suram KPK Indonesia sebagai suspek rasuah termuda. — Agensi

DUNIA politik Indonesia kembali dikejutkan dengan kes melibatkan Nur Afifah Balqis, nama yang pernah bersinar sebagai ahli politik muda berpotensi, kini terpalit dalam kancah rasuah.

Kisahnya menimbulkan persoalan besar mengenai integriti generasi muda dalam arena politik.

Afifah Balqis atau lebih mesra disapa Afifah sudah mencatat namanya dalam sejarah suram Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia sebagai suspek rasuah termuda.

BACA LAGI: [VIDEO] Masa Jakarta makin suntuk, penduduk resah air laut kian meninggi

BACA LAGI: Rakyat Malaysia antara 3 terkorban tragedi feri karam di Bali, famili dijangka tiba Jumaat

Pada usia baru 24 tahun, wanita kelahiran 1997 berkenaan terpaksa berdepan meringkuk di sebalik tirai besi apabila impian politiknya musnah berkecai.

Sebelum terlibat dalam kes tersebut, Afifah Balqis memegang jawatan strategik sebagai Bendahari Agung Cabang Parti Demokrat Balikpapan,satu jawatan yang jarang disandang oleh individu semuda itu.

Dia dikenali sebagai seorang yang aktif dan lantang bersuara, malah sering berkongsi aktivitinya di media sosial lengkap dengan atribut parti kesayangannya. Namun, kerjaya politik yang tampak cerah itu runtuh dalam sekelip mata.

Afifah Balqis terjerat dalam kes rasuah berkaitan urusan pengadaan barangan, perkhidmatan dan perlesenan dalam pentadbiran Kerajaan Daerah Penajam Paser Utara (PPU), Kalimantan Timur.

Lebih mengejutkan, Afifah Balqis merupakan anak kepada Abdul Gafur Mas’ud iaitu Bupati Penajam Paser Utara merangkap Ketua Cabang Parti Demokrat Balikpapan.

Kedua-dua ayah dan anak itu ditahan serentak dalam Operasi Tangkap Tangan (OTT) oleh KPK di sebuah pusat beli-belah mewah di Jakarta.

Daripada lokasi tangkapan, penyiasat merampas wang tunai berjumlah Rp1.3 bilion (RM385,000) sebagai bahan bukti.

Hasil siasatan mendedahkan bahawa Afifah Balqis memainkan peranan aktif dalam membantu menerima, menyimpan, dan menikmati wang suapan sebanyak 5.7 bilion rupiah (RM1.69 juta) yang sepatutnya diberikan kepada bapanya.

Mahkamah Tindak Pidana Korupsi (Tipikor) kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan serta denda sebanyak 300 juta rupiah (RM88,700) ke atas wanita muda berkenaan.

Sebelum skandal ini meletus, Afifah Balqis pernah dilihat sebagai salah satu kader muda paling berpotensi dalam Parti Demokrat. Kedudukannya sebagai anak kepada seorang bupati merangkap pemimpin parti memperkukuh lagi imej politiknya.

Afifah Balqis merupakan anak kepada Abdul Gafur Mas’ud iaitu Ketua Cabang Parti Demokrat Balikpapan. — Agensi

Aktif di media sosial, Afifah Balqis sering memuat naik aktiviti politik, momen melancong, serta gaya hidup glamor yang mengundang perhatian ramai. Keperibadiannya yang muda, bertenaga dan bergaya pernah mencuri tumpuan masyarakat.

Kes Afifah Balqis itu menjelaskan bahawa di sebalik semangat menggalakkan penyertaan anak muda dalam politik, kes ini menjadi peringatan bahawa usia bukanlah jaminan kebersihan, dan sistem politik yang rosak mampu menjerat sesiapa sahaja.

Insiden itu meninggalkan ironi mendalam terhadap harapan akan kemunculan wajah-wajah baharu yang bersih dalam politik Indonesia. Ia menjadi pengajaran pahit tentang moral dan akauntabiliti yang harus menjadi syarat utama dalam proses pembaharuan politik di republik itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram