
SEORANG mendaki Gunung Kinabalu, Sabah dalam hujan lebat dan cuaca ekstrem menjadi momen sukar dilupakan buat pendaki tegar, Rosdi Idris yang berjaya menawan puncak tertinggi Asia Tenggara itu pada Khamis.
Menurut Rosli, pendakian yang bermula pada 10 Julai lalu itu disertai dengan cabaran cuaca yang amat mencabar apabila hujan turun sepanjang hari hingga menyebabkan seluruh badan basah kuyup dan kesejukan melampau.
"Saya pernah mendaki Gunung Rinjani dan Kerinci di Indonesia serta Fujiyama, Jepun namun pengalaman di Gunung Kinabalu kali ini sangat berbeza.
BACA LAGI : Didakwa anjur sesi motivasi songsang di Shah Alam, Jakim siasat terperinci program eHATI
"Sejuknya melampau hingga saya menggigil dan hampir tewas. Angin pula kuat.
"Malah saya tidak pernah rasa sesejuk ini, walaupun ketika berada di Gunung Kerinci (di Indonesia),” katanya dalam satu perkongsian di Facebook pada Sabtu.
Tambahnya lagi, hujan lebat yang berterusan turut menyebabkan banjir di kawasan puncak gunung, dengan air menuruni lereng.
"Walaupun tidak menimbulkan bahaya serius, ia tetap menimbulkan kebimbangan kepada pendaki.
"Pendakian ke puncak Kinabalu bermula pada awal pagi 11 Julai sekitar pukul 3.00 pagi dari Panalaban, dengan pendaki diwajibkan sampai ke Pondok Sayat-Sayat kira-kira 1.0 kilometer dari puncak sebelum pukul 5.30 pagi," katanya.
Jelasnya, sekiranya pendakian itu gagal, mereka tidak dibenarkan meneruskan pendakian demi faktor keselamatan.
"Syukur Alhamdulillah, walaupun cuaca berkabus dan tidak banyak pemandangan dapat dirakam, saya tetap berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu.
"Hasrat tercapai juga akhirnya," ujar Rosdi.
Rosdi turut menasihati para pendaki agar sentiasa bersedia dengan pakaian tebal dan peralatan sesuai kerana perubahan cuaca di pergunungan boleh berlaku secara tiba-tiba.
Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4,095 meter dari paras laut sering menjadi tumpuan pendaki tempatan dan antarabangsa, namun faktor cuaca dan persediaan fizikal sering menjadi penentu kejayaan sesebuah ekspedisi.
Terdahulu, media melaporkan Sabah Parks mengesahkan seramai 155 pendaki telah berjaya dipandu turun dengan selamat oleh pemandu gunung pada Khamis, selepas kejadian banjir kilat mengejut berlaku di kawasan checkpoint Sayat-Sayat.
Banjir kilat itu bermula sekitar 6.15 pagi selepas hujan lebat melanda kawasan puncak, menyebabkan air deras mengalir pantas merentasi laluan KM7, salah satu laluan terakhir sebelum sampai ke puncak gunung.
"Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu elit (Mountain Search and Rescue) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta pemandu gunung memantau keadaan dan mengesahkan laluan tersebut selamat dilalui dengan menggunakan tali keselamatan yang telah dipasang di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kesemua 155 pendaki berjaya melintasi laluan berair deras itu dengan selamat sekitar pukul 7.48 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram