Penduduk Melaka kecewa pihak anjur program hiburan depan Surau Warisan


  • Tular
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Acara Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) di hadapan Surau Warisan Dunia mengundang rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam. — Gambar/Instagram Melaka Daily

ACARA Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) yang dijadual berlangsung Sabtu ini di hadapan Surau Warisan Dunia, berdekatan Bangunan Stadthuys dekat Jasin, Melaka menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan.

Manakan tidak, penganjuran program itu disifatkan tidak wajar memandangkan lokasinya yang terletak di hadapan sebuah rumah ibadah umat Islam, sekali gus mencetuskan perdebatan di media sosial.

Seorang pengguna media sosial, Qasturi yang mendakwa lebih 10 tahun menguruskan surau berkenaan, meluahkan rasa kecewa terhadap penganjuran program tersebut.

BACA LAGI : Hantaran ‘misteri’ Zii Jia cetus tanda tanya, ada kaitan tanda-tanda kemurungan

BACA LAGI : Buang sekolah takkan selesaikan kes buli — PIBGN

"Tak semestinya kerana surau itu sedang dalam proses baik pulih, maka boleh dijadikan lokasi untuk orang berjoget lambak. Seolah-olah tiada tempat lain yang lebih sesuai.

"Semoga terpelihara kesucian rumah-Mu, Ya ALLAH," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

 

Perkongsian individu terbabit turut menerima sokongan daripada warganet yang senada dalam mempertikaikan pemilihan lokasi program tersebut.

Ramai dalam kalangan pengguna media sosial menyifatkan tindakan menganjurkan acara hiburan di hadapan rumah ibadah sebagai tidak sensitif dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat berbilang agama.

Ada juga yang menyarankan agar pihak penganjur mempertimbangkan semula lokasi program agar tidak menyentuh sensitiviti keagamaan, terutama apabila melibatkan tapak bersejarah yang masih digunakan umat Islam walaupun sedang dalam proses baik pulih.

Terdahulu, media melaporkan, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas di media sosial.

"Saya harap umat Islam khususnya tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita bukan hendak adakan program WTD itu di dalam kawasan surau berkenaan yang kini ditutup sementara bagi kerja-kerja baik pulih bermula 6 Jun hingga 10 Ogos.

"Kebetulan lokasi tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO itu amat strategik untuk menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung sempena sambutan Pra-Pelancaran WTD," katanya pada Khamis.

Difahamkan, surau berkenaan sedang menjalani proses naik taraf bagi memberikan keselesaan lebih baik kepada jemaah selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram