
KRISIS kemanusian di Semenanjung Gaza, Palestin seperti semakin dilupakan dunia dan seolah-olah tidak menemukan jalan penyelesaian.
Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan rejim Israel terus melancarkan serangan udara terhadap kem pelarian Palestin sehingga mengakibatkan puluhan nyawa terbunuh.
Lebih menyedihkan, serangan itu dilakukan ketika penduduk Palestin mahu mendapatkan bekalan asas seperti makanan, ubatan dan minuman.
BACA LAGI: Derita anak Palestin kudung tangan akibat perang dipilih foto terbaik World Press Photo 2025
Situasi tersebut disahkan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stéphane Dujarri pada Khamis dan beliau mengecam serangan yang mengakibatkan nyawa orang awam terkorban.
Dalam tempoh seminggu saja, Dujarri berkata, hampir 30,000 rakyat Palestik terpaksa melarikan diri susulan arahan rejim Zionis, menyebabkan tiada lagi lokasi yang selamat untuk mendapatkan perlindungan, makanan, perubatan dan minuman
Beliau berkata, Gaza juga sudah memasuki minggu ke-17 tanpa bekalan minyak, sekali gus membangkitkan kebimbangan tempoh yang mampu dilalui rakyat Palestin untuk terus bertahan.
ALLAHUAKBAR
Rakyat Gaza terpaksa mengambil tepung yang sudah berkulat dan dipenuhi ulat untuk membuat roti bagi mengisi perut mereka yang kelaparan pic.twitter.com/mEDZurJErF
— Irfan_newboys (@Marchfoward) July 4, 2025
"Tanpa bekalan minyak, inkubator akan terpadam, ambulans juga tidak boleh digunakan untuk membawa mereka yang sakit atau cedera, air juga tidak boleh disuling," katanya.
PBB sudah berulang kali menggesa Israel membenarkan akses kemanusiaan dibuka kepada rakyat Palestin selain meminta gencatan senjata secara kekal dicapai antara Hamas dan rejim Zionis.
Namun setakat ini, tiada perjanjian konkrit dicapai antara kedua-dua pihak.
Krisis kemanusiaan di Gaza juga dipamerkan di media sosial apabila ada penduduk berkongsikan cara mereka terus bertahan untuk kekal hidup.
Antaranya, babak penduduk Gaza menggunakan tepung yang sudah berkulat untuk dijadikan makanan.
Dalam video tersebut, mereka mengikis bahagian tepung yang sudah mengeras dan berkulat sebelum memasak bahagian yang masih dirasakan elok.
Selain itu, ada juga video yang menunjukkan penduduk Gaza memakan roti yang berkulat selain merebus daun.
Krisis di Gaza tercetus selepas Hamas dan Israel berperang lebih 20 bulan, mengakibatkan kira-kira 50,000 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 125,000 cedera.
Lebih 90 peratus rumah penduduk Gaza musnah akibat perang tersebut selain hospital, sekolah, pusat perlindungan dan infrastruktur kritikal turut dibom tentera rejim sejak 7 Oktober 2023. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram