Pentas fesyen jadi ruang solidariti, GmbH dedikasikan pertunjukan fesyen buat mangsa di Gaza


  • Gaya
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Walaupun pertunjukan dimulakan dengan simbol solidariti terhadap Gaza, koleksi yang dipersembahkan tidak menggambarkan keganasan secara langsung. — Agensi

LABEL fesyen dari Berlin, Jerman, GmbH memulakan pertunjukan koleksi musim bunga dan panas 2026 dengan bertafakur selama 58 saat bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan di Gaza, Palestin.

Pihak penganjur memaklumkan bahawa 58 saat itu dibahagikan mengikut jumlah mangsa, dengan setiap 1,000 saat melambangkan satu nyawa.

Menurut dua perekanya, Benjamin A Huseby dan Serhat Isik, ia merupakan musim keempat mereka menghasilkan koleksi ketika konflik masih berterusan.

BACA LAGI: Kencing manis ketika hamil bukan pengakhiran, bayi berpotensi lahir sihat, 3 cara kawal GDM

BACA LAGI: Tanpa kedai, tanpa sewa, 'home cafe' jadi trend baharu di Singapura

Antara rekaan dalam koleksi musim bunga dan panas 2026 GmBH. — Agensi

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram, GmbH merujuk kepada laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amnesty International yang mengklasifikasikan serangan terhadap rakyat Palestin sebagai satu bentuk genosid.

Walaupun pertunjukan bermula dengan tanda solidariti terhadap Gaza, koleksi mereka tidak menggambarkan kekejaman secara langsung.

Sebaliknya, ia menunjukkan bagaimana mereka cuba terus berkarya dalam keadaan yang tidak stabil dan menekan.

Diiringi muzik filem Cape Fear (1991), model-model memperagakan padanan yang berbeza seperti jaket tuksedo dengan seluar tidur, blaus nipis berlengan besar dengan boxer kapas berjalur dan but menunggang.

Beberapa rekaan lain menampilkan vest yang dipenuhi wang euro palsu, seluar denim berlubang dan baju-T.

Elemen rekaan berkabung daripada musim lalu dikekalkan. Kali ini dua model mengenakan selendang hitam dan putih menutupi seluruh wajah.

Dua lagi rekaan menampilkan fabrik dibalut pada bahu menyerupai bentuk bulatan besar, gaya yang menjadi identiti rekaan GmbH.

Pereka juga mengambil inspirasi daripada kenangan zaman kanak-kanak. Mereka mengimbas rakaman keluarga dalam pita VHS lama untuk mencari semula perasaan bahagia pada masa itu.

Kenangan itu memberi sokongan emosi kepada mereka dalam proses penghasilan koleksi ini.

Selain itu, mereka turut mengangkat persoalan tentang siapa yang dianggap tidak bersalah. Menurut Huseby, lelaki berkulit perang dan hitam sering kali tidak diberikan ruang untuk dilihat sebagai tidak bersalah dalam naratif umum. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram