[VIDEO] Iran nafi dakwaan Trump, masih tak bersetuju gencatan senjata bersama Israel selepas serangan di Qatar


  • Benua
  • Selasa, 24 Jun 2025

Tangkap Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Qatar awal pagi Isnin. — Agensi

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Israel dan Iran bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Qatar awal pagi Selasa.

Serangan itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap pengeboman tapak nuklear Iran oleh tentera Amerika.

Dalam satu kenyataan di platform Truth Social, Trump menyatakan gencatan senjata secara berperingkat selama 24 jam akan bermula sekitar tengah malam Selasa waktu AS, sekali gus menandakan "penamat rasmi" kepada konflik yang digelarnya sebagai "Perang 12 Hari".

BACA LAGI: AS mula 'goyang', minta China pujuk Iran tak tutup Selat Hormuz

BACA LAGI: [VIDEO] Teknik serangan misil Iran kelirukan sistem pertahanan musuh

 

 

 

 

Bagaimanapun, kenyataan Trump itu dinafikan oleh pihak Iran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan tiada sebarang perjanjian rasmi dicapai setakat ini.

Abbas Araghchi berkata, Iran hanya akan menghentikan serangan sekiranya Israel menghentikan pencerobohan terhadap rakyat Iran sebelum pukul 4 pagi waktu tempatan Tehran, Selasa.

"Setakat ini, tiada perjanjian mengenai gencatan senjata atau pemberhentian operasi ketenteraan.

"Keputusan muktamad berhubung pemberhentian operasi ketenteraan akan dibuat kemudian," katanya dalam satu hantaran di platform X pada pukul 4.16 pagi Selasa.

Sementara itu, tentera Israel masih belum mengesahkan sebarang gencatan senjata.

Namun, tiada laporan mengenai serangan balas Israel ke atas Iran pada hari yang sama.

Difahamkan, serangan hebat dari Israel ke atas Tehran dan beberapa bandar utama lain berterusan sehingga hampir waktu itu.

Menariknya, Trump turut menyamakan konflik ini dengan "Perang Enam Hari" pada tahun 1967, yang menyaksikan Israel menawan beberapa wilayah Arab termasuk Tebing Barat, Gaza, dan Bukit Golan.

Kenyataan itu dijangka membangkitkan sensitiviti dunia Arab, terutamanya rakyat Palestin.

Dalam perkembangan terbaharu, siren amaran dilaporkan berbunyi di beberapa kawasan di Israel selepas Iran didakwa melancarkan peluru berpandu kira-kira sejam selepas waktu yang dijanjikan untuk gencatan senjata.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung dakwaan Trump.

Tentera Israel juga enggan memberikan sebarang komen. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram