
OPERASI untuk menyelamatkan seorang pendaki gunung dari Brazil, Juliana Marins berakhir dengan kedukaan apabila dia ditemui mati.
Marins, 26, yang mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia terjatuh ke gaung di lereng gunung berapi tersebut semasa mendakinya pada Sabtu lalu.
Usaha mencari dan menyelamat diadakan untuk mengesan Marins, namun cuaca buruk nyata menyukarkan perkara itu untuk dilakukan.
Pihak penyelamat akhirnya menemukan mayat Marins selepas mereka menggunakan dron untuk mengesannya.
Salah seorang pencari berjaya sampai ke lokasi mayat mangsa pada kedalaman 600 meter. Ketika itu, Marins sudah tidak bernyawa.
Keluarga Marins kemudiannya mengumumkan pemergiannya menerusi satu hebahan di media sosial.
"Hari ini, pasukan penyelamat berjaya sampai ke tempat Juliana Marins berada. Dengan penuh kesedihan, kami ingin mengumumkan yang dia tidak berjaya diselamatkan.
"Kami amat berterima kasih atas doa, mesej berbentuk kasih sayang dan segala dukungan yang kami terima," ujar keluarganya.
Insiden itu turut mendapat perhatian luas di Brazil dengan presidennya, Luiz Inacio Lula da Silva turut menyatakan kesedihan atas perkara tersebut.
Da Silva mengatakan pihak akan memberikan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan urusan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram