
USAHA menyelamat seorang pelancong wanita Brazil, Juliana Marins, yang terjatuh ke dalam jurang di lereng Gunung Rinjani pada Sabtu lalu masih diteruskan walaupun berdepan cabaran ekstrem termasuk cuaca buruk dan keadaan curam berbahaya.
Juliana, dilaporkan jatuh ke dalam lubang berkedalaman lebih 500 meter ketika mendaki gunung berapi aktif berketinggian 3,726 meter itu.
Insiden berlaku ketika dia bersama sekumpulan pendaki lain menuju ke puncak gunung, namun tergelincir dan terpaksa berpaut di lereng selama kira-kira tiga hari tanpa sebarang bekalan makanan dan perubatan.
Rakaman dron menunjukkan pelancong berusia 26 tahun itu kelihatan tidak bergerak dan duduk dalam keadaan lemah di atas batu, menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kesihatannya.
Menurut pihak berkuasa Taman Negara Gunung Rinjani, pasukan penyelamat terdiri daripada lebih 50 anggota yang terdiri daripada polis, tentera, pendaki profesional dan sukarelawan dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Kami sudah mengenal pasti lokasi mangsa menggunakan dron, namun usaha untuk turun ke kedudukan dia sangat sukar kerana tebing yang curam dan cuaca berkabus," kata jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) Lombok Timur.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi sama ada dia masih hidup atau sebaliknya dengan tiga buah helikopter turut tiba di Lombok untuk membantu misi menyelamat, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan jarak penglihatan yang rendah dan keadaan angin berbahaya.
Insiden tersebut menerima perhatian meluas daripada pengguna media sosial yang khuatir akan keadaan mangsa, termasuk dari Brazil apabila masing-masing mula membanjiri ruangan komen Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Permintaan itu bukan sahaja bertujuan meminta proses menyelamatkan mangsa disegerakan, malah ada pula mempersoalkan sekiranya Indonesia tidak memiliki helikopter untuk membantu Juliana.
Komen tersebut ditinggalkan di ruangan komen hantaran terbaru presiden berkenaan dengan sebanyak 11,300 luahan dengan pengguna media sosial Indonesia juga tidak terkecuali.
Beberapa agensi media lain turut mengalami situasi sama yang sekali gus menceritakan harapan penduduk Amerika Selatan itu untuk menyegarakan usaha menyelamat Juliana yang masih belum diketahui keadaan semasanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram