[VIDEO] Sampai 'sunburn' dibuatnya, graduan kejuruteraan UTM gigih 'takluk' Rinjani demi sarung jubah konvokesyen


  • Hobi
  • Ahad, 24 Nov 2024

Pelajar UTM bersemangat sarung jubah konvokesyen di puncak Rinjani, Lombok, Indonesia.

SEORANG graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menarik perhatian ramai apabila memilih untuk ‘terbang’ ke Indonesia bagi meraikan detik bersejarah dengan menyarungkan jubah konvokesyen di puncak Gunung Rinjani, Lombok.

Lelaki tersebut, Ahmad Hazeiq Zaman Mohd Zamany berjaya menawan puncak berketinggian 3,726 meter itu, sekali gus menjadikan pendakiannya sebagai simbol dedikasi dan semangat tinggi dalam mencapai impian.

"Zaman belajar memang susah. Jadi, bila sudah sampai ke puncak rinjani dengan jubah jadi macam simbolik pendakian kami ke puncak menara gading," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya pisang dan pita pelekat, karya seni pelik raih bidaan RM29.3 juta

BACA LAGI: [VIDEO] 'Echoes of Art', pelajar UPTM gigih pupuk minat generasi muda di Ampang terhadap seni warisan tradisional

WhatsApp Image 2024-11-22 at 7.22.46 PM (1)

Ahmad Hazeiq Zaman (kiri), Muhammad Zaim (tengah), Arif Hashri Aminnordin (kanan).

Pendakian penuh makna itu dilakukan bersama tiga rakannya iaitu Muhammad Zaim Akhyak, Nurin Farzanah Mohd Hilmi dan Miza Nazurah Islam Mazli.

Kesemua mereka baru sahaja menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian dan selesai menghadiri majlis graduasi rasmi pada Isnin.

"Sejak menjalani latihan industri, kami sudah merancang pendakian ini. Pada mulanya, kami bercadang mendaki Gunung Kinabalu.

"Namun, selepas mempertimbangkan kos dan tenaga, kami memutuskan untuk ke Rinjani," kata Hazeiq.

Hazeiq berkata, dia dan rakan-rakannya mula berkenalan di Kelab Rekreasi Pelajar UTM kerana berkongsi minat yang sama dalam aktiviti mendaki.

"Alang-alang sudah sampai di Rinjani, kami mengambil peluang untuk melakukan sesi ‘pre-convo’ dengan menyarungkan jubah di sana," katanya.

WhatsApp Image 2024-11-22 at 7.22.46 PM

Arif Hashri Aminnordin (kiri), Ahmad Hazeiq Zaman (kedua kiri), Miza Nazurah Islam Mazli (tengah), Nurin Farzanah Mohd Hilmi (kedua kanan), Muhammad Zaim Akhyak (kanan).

Lebih menarik, jubah konvokesyen yang dibawa bukan milik mereka sendiri, sebaliknya dipinjam daripada pelajar atasan.

“Kami belum ambil jubah rasmi waktu itu. Jadi, kami hanya mampu bawa satu jubah dari senior untuk bergambar di puncak,” katanya.

Tidak semudah yang difikirkan, Hazeiq melalui beberapa kesukaran sebelum mendaki gunung Rinjani.

"Sebulan sebelum pendakian, saya alami kekejangan sewaktu mendaki Gunung Korbu dan Gunung Gayong.

"Oleh itu, saya mendaki dengan lebih perlahan ke Rinjani bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

"Rinjani memang mencabar, dengan cuaca sejuk dan angin kencang. Ramai pendaki terpaksa berpatah balik, tetapi dengan sokongan rakan-rakan, kami berjaya sampai ke puncak," ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Tidak hanya itu, Hazeiq turut berhadapan dengan kesan sampingan seperti sunburn teruk akibat altitud tinggi.

"Selepas mendaki, kulit muka saya menggelupas walaupun sudah memakai pelindung matahari. Cumanya, di atas puncak memang sangat sejuk," katanya.

Bagaimanapun, Hazeiq menganggap perjalanan itu sebagai suatu memori yang sangat bermakna.

"Sangat berbaloi untuk pergi kerana dari awal trailhead sehinggalah habis permandangannya sangat cantik sehinggakan rasa sentiasa mahu ambil gambar.

"Tetapi sesiapa yang mahu pergi perlu training secukupnya kerana Rinjani tidak sama seperti gunung lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram