[VIDEO] Teknik serangan misil Iran kelirukan sistem pertahanan musuh


  • Benua
  • Isnin, 16 Jun 2025

Keadaan terkini Tel Aviv selepas Iran melancarkan serangan ke Israel selama beberapa hari. — Agensi

SERANGAN peluru berpandu oleh Iran terhadap Israel yang berterusan sejak Jumaat lalu menunjukkan keupayaan Tehran untuk menyusun semula kekuatan tenteranya, biarpun beberapa komander kanan mereka terbunuh dalam serangan awal oleh Israel.

Menurut Naib Presiden Quincy Institute for Responsible Statecraft, Trita Parsi, Israel telah memandang rendah keupayaan Iran untuk bangkit selepas kejayaan menumpaskan kepimpinan tertinggi ketenteraan republik itu.

"Mereka (Israel) menyangka mereka berjaya mengganggu sistem kawalan dan perintah Iran, namun struktur itu berjaya dibina semula dengan cepat," katanya memetik laporan CNN pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Iran teruskan fasa serangan misil, Haifa jadi sasaran

BACA LAGI: [VIDEO] Iran lancar serangan balas, 6 saintis nuklear sah terkorban

Lebih membimbangkan, katanya, peluru berpandu Iran kini dilapor mampu menembusi semua lapisan sistem pertahanan udara Israel.

 

 

 

Kenyataan itu dibuat ketika gelombang baharu peluru berpandu Iran dilaporkan menghentam beberapa kawasan di Israel awal pagi semalam, termasuk lokasi kediaman di kawasan tengah dan pantai negara itu.

Dalam pada itu, CNN turut melaporkan, lima maut dalam serangan terbaharu itu, menurut perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA).

Menurut MDA, pihaknya memberi respon ke empat lokasi serangan dan membawa puluhan mangsa yang cedera ke hospital di wilayah tengah.

Jumlah korban kini meningkat kepada 18 orang sejak Israel dan Iran mula saling melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, keadaan di Tehran juga semakin genting apabila ratusan penduduk dilaporkan cuba melarikan diri dari ibu negara bagi mencari perlindungan, susulan kebimbangan terhadap serangan balas Israel.

Kementerian Kesihatan Iran yang dipetik media rasmi negara itu melaporkan sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh, manakala 1,277 lagi dimasukkan ke hospital sejak pertempuran bermula.

Letupan dan kebakaran turut dilaporkan di beberapa lokasi di Israel dengan beberapa bangunan kediaman musnah dalam serangan terbaharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram