
KEKECOHAN yang berlaku dalam sebuah penerbangan Air India Express baru-baru ini bukan berpunca daripada perebutan tempat duduk strategik seperti 11A bersebelahan pintu kecemasan, sebaliknya kerana isu beg tangan yang tidak sampai ke tempat duduknya.
Insiden mencemaskan itu melibatkan seorang doktor wanita, Dr Vyas Hiral Mohanbhai, 36, yang mencetuskan huru-hara dalam pesawat apabila didakwa mengugut untuk menjatuhkan pesawat yang dalam penerbangan dari Bengaluru ke Surat, Gujarat pada Selasa lalu.
Menurut laporan, kejadian bermula apabila Dr Mohanbhai meminta kru kabin membawa beg tangan miliknya yang ditinggalkan berhampiran barisan hadapan ke tempat duduknya di 20F.
Namun, apabila ditanya mengapa beg tersebut diletakkan di hadapan, suspek dikatakan naik angin.
Ketegangan meningkat apabila suspek didakwa mengugut untuk menjatuhkan pesawat, menyebabkan kru segera memaklumkan perkara tersebut kepada juruterbang.
Walaupun kru dan juruterbang berulang kali cuba menenangkannya, wanita itu enggan bekerjasama dan malah menengking penumpang lain yang cuba menenangkan keadaan, menurut laporan NDTV.
A fight breaks out on Air India flight with multiple passengers wanting to sit on Seat 11 A.
This is the lucky seat where the lone surviving passenger sat on an ill fated Air India flight where 250 perished.
— tic toc (@TicTocTick) June 18, 2025
Juruterbang kemudian menghubungi pihak keselamatan lapangan terbang dan anggota Pasukan Keselamatan Industri Pusat (CISF) yang membawa keluar wanita berkenaan dari pesawat.
Keseluruhan insiden dilaporkan berlaku antara pukul 2.45 petang hingga 5.30 petang pada 17 Jun.
Lebih mengejutkan, Dr Mohanbhai dikatakan terus menunjukkan tingkah laku agresif ketika dibawa ke Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda (KIA), termasuk memaki hamun dan menyerang pegawai polis.
"Ini kali pertama kami dengar bahasa kesat seperti itu di balai," kata seorang pegawai kanan polis India kepada Business Standard.
Siasatan awal mendapati Dr Mohanbhai bukan lagi berkhidmat sebagai doktor.
Menurut suaminya yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di Bengaluru dan berasal dari Odisha, isterinya sedang dalam perjalanan ke Gujarat untuk melawat keluarga.
Suami suspek turut memaklumkan bahawa isterinya pernah terlibat dalam insiden gangguan awam sebelum ini.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas nahas tragik pesawat Air India AI 171 yang mengorbankan 241 nyawa di dalam pesawat dan 29 lagi di darat, menjadikan ancaman yang dibuat oleh Dr Mohanbhai sangat membimbangkan pihak berkuasa.
Susulan kejadian, pihak polis telah menahan dan mendakwa Dr Mohanbhai mengikut Seksyen 351(4) (ugut jenayah melalui komunikasi tanpa nama) dan Seksyen 353(1)(b) (kenyataan yang menyebabkan huru-hara awam) di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita, serta Seksyen 3(1)(a) Akta Pencegahan Tindakan Tidak Sah terhadap Keselamatan Penerbangan Awam, yang melibatkan tindakan ganas dalam pesawat yang mengancam keselamatan penerbangan.
Kes kini masih dalam siasatan dan Dr Mohanbhai dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram