[VIDEO] Israel serang tapak nuklear, markas tentera Iran


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Beberapa lokasi di Iran menjadi sasaran serangan udara Israel. — Agensi

ISRAEL melancarkan siri serangan udara terhadap beberapa lokasi penting Iran dengan menjadikan pemimpin tentera dan tapak nuklear Teheran sebagai sasaran, sekali gus bakal mengheret rantau Asia Barat ke kancah perang berskala besar.

Puluhan pesawat Israel terlibat dalam gelombang serangan pertama pada awal pagi Jumaat dengan media Iran melaporkan beberapa lokasi di Teheran diselubungi asap tebal akibat dibom termasuk markas tentera.

Susulan serangan itu, Israel mendakwa antara terkorban dalam serangan itu termasuk Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami terbunuh.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia ke Thailand perlu ambil iktibar kes di Phuket jika mahu bergambar dengan harimau

BACA LAGI: [VIDEO] Demi populariti, pelancong cari nahas ambil video saat Gunung Etna meletus

Media Iran juga mengesahkan seorang lagi pegawai tinggi tentera, Jeneral Mohammad Bagheri terbunuh dalam serangan itu walaupun pada awalnya dia dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Selain itu, penasihat pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Ali Shamkhani turut dilaporkan cedera parah dalam serangan Israel itu.

Angka korban akibat pengeboman Israel itu masih belum dapat diketahui dan Teheran dilaporkan sedia melancarkan serangan balas terhadap Israel.

Serangan itu dilancarkan hanya beberapa hari selepas wakil khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff bertemu dengan pegawai Iran bagi membincangkan rundingan program nuklear republik itu.

 

Ketua tentera Israel Eyal Zamir juga dilaporkan berkata, puluhan ribu tentera kini bersedia di sempadan untuk melancarkan operasi darat ke Iran.

Malah dia memberi amaran mana-mana pihak yang cuba menghalang operasi tersebut akan mendapat balasan setimpal.

Israel sebelum ini memberi bayangan akan menyerang Iran dengan alasan republik Islam itu mempunyai ancaman nuklear dan menggugat keamanan serantau.

Serangan pada Jumaat juga disifatkan sebagai langkah awal mencegah sebarang serangan nuklear daripada Iran.

Dalam pada itu, Presiden AS, Donald Trump akan mengadakan mesyuarat khas di Majlis Keselamatan Negara pada Jumaat susulan serangan sekutunya ke atas Iran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram