
DUNIA fesyen bukan sekadar peragaan busana atau permainan gaya.
Ia merupakan platform ekspresi diri, cerminan identiti budaya dan medium perubahan sosial.
Justeru, pendidikan fesyen hari ini perlu menjangkaui kemahiran teknikal semata-mata.
Ia harus bersifat inklusif dan membentuk generasi kreatif yang bukan sahaja memahami proses rekaan, tetapi juga menghargai nilai, etika dan warisan budaya dalam setiap helaian yang dihasilkan.
BACA LAGI: Mengandung luar rahim kali ke-2, Sari Yanti tabah, rayu doa pembedahan jalan lancar
Menurut Faizal, pendidikan formal memberi struktur dan kefahaman yang lebih mendalam. — Instagram/@faizal_hamid
Peranan pendidikan formal
Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faizal Hamid menegaskan bahawa pendidikan formal tetap relevan dalam era digital masa kini.
“Misi utama kami sebagai pendidik bukan sekadar melahirkan graduan yang profesional dan berkualiti, tetapi juga mereka yang menghormati budaya sendiri, beretika, bermaruah dan mempunyai identiti tersendiri,” jelas beliau kepada Majoriti.
Figura yang sudah berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang pendidikan itu mengakui media sosial membuka ruang pembelajaran lebih luas, namun pendidikan formal memberi struktur dan kefahaman mendalam.
"Pelajar bukan hanya diajar mencipta rekaan, tetapi memahami nilai dan makna di sebalik rekaan tersebut," katanya.
Keaslian, kritikan industri
Menurut Faizal, keaslian dalam berkarya merupakan aset penting dalam industri fesyen yang semakin tinggi persaingan.
Graduan perlu menonjol melalui pendekatan unik dan hasil kerja yang mencerminkan jati diri.
“Kalau mereka tidak menonjol, mereka akan tenggelam. Hasil kerja seharusnya berbicara tentang siapa diri kita,” katanya.
Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa industri fesyen tempatan hambar, beliau menegaskan kritikan perlu disertai dengan pandangan membina.
“Apabila orang kata industri fesyen hambar, kita kena tengok siapa yang cakap. Adakah dia memang proaktif atau dia memang suka mengkritik?” soal Faizal sambil menambah, penting untuk melihat industri secara terbuka dan mencari potensi dalam setiap usaha yang dijalankan.
Antara graduan fesyen UiTM di bawah bimbingan Faizal yang kini mengorak langkah dalam industri rekaan.
'Dimonopoli', ruang baharu
Mengulas lanjut mengenai persepsi bahawa industri fesyen tempatan dikuasai oleh kelompok tertentu, Faizal tidak menafikan bahawa situasi tersebut boleh menjadikan ruang untuk bakat baharu agak terbatas.
“Kadang-kadang mereka lihat acara fesyen utama seperti kembali pada jenama sama, pereka sama dan penaja sama. Mereka rasa tidak dialu-alukan. Tapi sebenarnya industri kita kecil dan jaringan juga terhad,” ujarnya.
Namun, beliau percaya anak muda perlu lebih proaktif mencari ruang sendiri.
“Kena buat networking dan kerja keras. Kalau tidak dijemput ke acara utama, cari platform alternatif. Buat pop-up store, jual di TikTok, Shopee atau media sosial. Jangan rasa sedih dan menunggu. Mereka kena gerak sendiri, kenalkan diri kepada dunia,” tegasnya.
Bina identiti melalui sejarah
Bagi Faizal, kefahaman terhadap sejarah budaya adalah asas penting dalam menghasilkan karya yang bermakna.
"Kalau nak ambil inspirasi daripada budaya, kita mesti betul-betul faham maksudnya. Kenapa dibuat begitu? Apa simboliknya? Apabila individu faham, mereka tidak akan lari daripada nilai asal dan akan lebih menghormati sumber inspirasi itu," jelasnya.
Luahan pelajar
Selain bakat, Faizal menekankan pentingnya disiplin dan daya tahan diri dalam kalangan pelajar.
“Ramai pelajar kata tak cukup masa. Tapi hakikatnya, kurang disiplin dan tiada dorongan dalaman untuk berjaya. Apabila kerja nanti, majikan tidak menunggu pekerja untuk bersedia. Pekerja dibayar untuk hasil, bukan alasan,” katanya.
Menutup temu bual, Faizal memberi pesan kepada generasi muda yang ingin meneroka dunia fesyen.
“Industri ini tidak mudah. Tapi kalau kamu percaya pada bakat kamu, teruskan. Setiap hari kamu perlu bangkit, percaya pada diri dan terus berkarya. Gagal itu biasa, tapi itu juga yang akan buat kamu jadi lebih baik,” katanya.
Baginya, kejayaan bukan sekadar populariti atau kekayaan.
“Kalau kamu buat apa yang kamu suka dan kongsikan seni kamu dengan dunia, itu pun satu kejayaan. Terus belajar dan jangan pernah putus asa,” pesan beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram