Pemandu lori nahas trak FRU mengaku tidak bersalah curi lembu di Kampung Sungai Keli


  • Kes
  • Selasa, 20 Mei 2025

Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri dua ekor lembu jantan di kebun Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang.

PEMANDU lori yang menghadapi pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak pada Selasa atas pertuduhan mencuri dua ekor lembu, bulan lepas.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memindah hantar yang disedari sebagai harta curi, iaitu seekor lembu jantan warna hitam baka KK Cross dan seekor lembu jantan warna putih baka Brahman milik Rozali Ismail, 66, dari tempat asal iaitu di kebun Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang dekat Teluk Intan.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang di sini pada pukul 6 petang, 14 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki itu.

Peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan yang mewakili Rudi Zulkarnain, memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berdepan 10 pertuduhan termasuk kes kemalangan yang membabitkan anggota FRU, selain tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana lesen telah digantung dan kedua-dua lembu tersebut telah diserahkan kepada mangsa.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada Jumaat, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU, 13 Mei lepas.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 terhadap pemandu lori tersebut dan jaminan berkenaan dibayar oleh majikannya dengan seorang penjamin pada Selasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram