
PENGURANGAN kadar subsidi telur ayam sebanyak 50 peratus iaitu kepada lima sen daripada 10 sen bermula Khamis ini menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat Malaysia.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan bahawa subsidi tersebut juga akan ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos nanti.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
BACA LAGI: [VIDEO] Ralit tengok gajet, kontraktor di China selisih maut hampir dihempap kren jatuh
Subsidi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Ogos nanti. — Gambar hiasan
KPKM juga berkata, kerajaan sudah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian sejak Februari 2022 hingga Disember 2024.
Kerajaan juga sudah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama dan sesuatu tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
KPKM bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi.
Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Mengulas lanjut, langkah tersebut secara tidak langsung dilihat berkemungkinan sebagai strategi 'soft landing' iaitu menggantikan subsidi dengan intervensi bersasar dan berasaskan pasaran.
Seorang pengguna akaun Facebook Nazri Hamdan berkata, ia menunjukkan satu bentuk peralihan dasar dari subsidi kepada kawalan pasaran terbuka yang lebih bergantung pada mekanisme harga sebenar.
"Ini mungkin bukan kebetulan. Ia boleh dibaca sebagai isyarat bahawa pengeluaran domestik sudah mula pulih selepas beberapa isu sebelum ini seperti gangguan bekalan makanan ayam, kos suapan yang tinggi dan kebergantungan kepada import.
"Jika trend harga turun ini kekal konsisten untuk beberapa bulan, ia akan memberi keyakinan kepada kerajaan untuk lepaskan kawalan subsidi secara total," tulisnya.
Ulasnya lagi, langkah tersebut juga menunjukkan pendekatan lebih holistik bukan hanya fokus kepada harga, tetapi saluran agihan dan mekanisme pasaran yang lebih sihat.
Justeru, langkah KPDN untuk meningkatkan pemantauan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan adalah penting agar tiada pihak mengambil kesempatan semasa fasa peralihan ini.
"Penamatan subsidi ini boleh ditafsir sebagai satu bentuk keyakinan kerajaan terhadap kestabilan bekalan telur negara.
"Penurunan harga yang berlaku kebelakangan ini memberi ruang ekonomi untuk kerajaan berundur dari intervensi langsung.
"Tetapi, kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan sistem pasaran mengekalkan harga stabil tanpa subsidi serta kecekapan penguatkuasaan dalam mengekang manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab," tambahnya.
KPDN pada masa sama akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alamat [email protected] atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram