Pakistan lancar serangan balas, bom 3 pangkalan udara India


  • Benua
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Asap berkepul dapat dilihat di udara selepas letupan di pinggir bandar Jammu pada Sabtu. — Agensi

PAKISTAN melancarkan operasi ketenteraan sebagai tindak balas terhadap India pada awal Sabtu, menyasarkan beberapa pangkalan termasuk tapak penyimpanan peluru berpandu di utara India.

Serangan balas itu berlaku ketika kedua-dua negara jiran tersebut meneruskan pertempuran yang disifatkan terburuk dalam hampir tiga dekad.

Menurut Pakistan, serangan itu dilancarkan selepas India cuba mengebom tiga pangkalan udaranya pada Sabtu termasuk sebuah pangkalan berhampiran dengan ibu negara, Islamabad.

Namun serangan India itu gagal kerana kebanyakan daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Pakistan.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Berpunca daripada pertikaian lama mengenai wilayah Kashmir, kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran setiap hari sejak Rabu lalu apabila India melancarkan serangan di dalam wilayah Pakistan ke atas apa yang dipanggil sebagai pangkalan militan.

Pakistan kemudiannya berikrar untuk bertindak balas dan menunaikan janji itu pada Sabtu.

"Tapak simpanan (senjata) BrahMos milik India telah di kawasan umum Beas telah diserang," kata tentera Pakistan dalam mesej kepada wartawan, sambil menambah bahawa Lapangan Terbang Pathankot di negeri Punjab barat India dan Stesen Tentera Udara Udhampur di Kashmir di bahagian India turut terjejas.

Kementerian pertahanan dan luar India tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas di luar waktu operasi biasa. 

Tentera India dijangka memberi taklimat kepada media dalam masa terdekat, kata kementerian pertahanan.

Menteri Penerangan Pakistan dalam satu catatan di laman sosial X berkata, operasi ketenteraan itu dinamakan "Operasi Bunyanun Marsoos". 

Istilah tersebut diambil daripada al-Quran yang bermaksud struktur yang kukuh dan bersatu.

Seorang pegawai keselamatan Pakistan berkawal di Karachi pada Jumaat berikutan peningkatan operasi ketenteraan antara India dan Pakistan. — Agensi

Bunyi letupan dilaporkan didengar di Srinagar dan Jammu di India, denga siren dibunyikan, kata seorang saksi kepada Reuters.

"India dengan menggunakan pesawatnya telah melancarkan peluru berpandu udara ke permukaan dengan menyasarkan pangkalan Nur Khan, pangkalan Mureed dan pangkalan Shorkot," kata jurucakap tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui televisyen pada lewat malam.

Salah satu pangkalan udara berada di bandar pertahanan Rawalpindi, tepat di luar ibu kota Islamabad, dan dua lagi berada di wilayah timur Pakistan, Punjab, yang bersempadan dengan India.

Jurucakap tentera Pakistan berkata, hanya beberapa peluru berpandu berjaya melepasi pertahanan udara, dan ia tidak mengenai mana-mana aset udara, menurut penilaian kerosakan awal.

India berkata, serangannya pada Rabu, yang memulakan pertempuran antara negara-negara itu, adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan maut ke atas pelancong Hindu di Kashmir India pada bulan lalu.

Pakistan menafikan tuduhan India bahawa ia terlibat dalam serangan tersebut.

Sejak Rabu, kedua-dua negara telah berbalas tembakan dan serangan rentas sempadan, dan menghantar dron dan peluru berpandu ke ruang udara masing-masing.

Kebanyakan pertempuran pada Jumaat adalah di Kashmir ditadbir India dan negeri jirannya.

India berkata, pihaknya menembak jatuh dron Pakistan.

Bunyi letupan turut kedengaran di bandar Lahore di Timur Pakistan dan bandar Peshawar di barat laut, ketika pertempuran mengancam untuk merebak.

Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh sejak Rabu, menurut anggaran korban di kedua-dua belah sempadan yang belum disahkan secara bebas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram