Budak 'bertuah' dalang rosakkan lukisan Rothko bernilai lebih RM241 juta di Belanda


  • Benua
  • Selasa, 29 Apr 2025

Karya Grey, Orange on Maroon, No.8 oleh Mark Rothko dipamerkan di Muzium Boijmans van Beuningen di Rotterdam sebelum ia mengalami kerosakan. — Agensi

SEBUAH lukisan bernilai €50 juta (RM241 juta) terpaksa diturunkan daripada pameran di muzium Belanda akibat dirosakkan oleh seorang kanak-kanak.

Lukisan 'Grey, Orange on Maroon, No. 8' milik pelukis terkemuka, Mark Rothko itu dipamerkan di galeri Rotterdam dan kini perlu melalui proses pemulihan selepas dicalarkan kanak-kanak terbabit.

Pihak muzium mengesahkan kejadian itu dengan mengatakan lukisan berkenaan mengalami kerosakan yang agak teruk.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

"Pakar pemulihan lukisan telah dibawa untuk meneliti kerosakan tersebut dan menunggu langkah seterusnya untuk membaikinya," kata pihak muzium tanpa menyatakan kos untuk memperbaikinya atau pihak yang akan menanggung kos itu.

Lukisan yang dihasilkan pada 1960 dengan ukuran lebih dua meter tinggi dan 3 meter lebar itu merupakan tarikan pameraen di Muzium Boijmans Van Beuninge.

Rothko merupakan artis seni Amerika kelahiran Latvia dan dikenali dengan kepakarannya dalam menghasilkan lukisan unik.

Hasil seninya biasa dijual dengan harga berjuta-juta dolar termasuk lukisan Untitled, 1968 yang dijual pada November 2023 dengan nilai AS$23.9 juta (RM104 juta).

Muzium Boijmans Van Beuningen di Rotterdam, Belanda. — Agensi

Kejadian itu bukan kali pertama yang menyaksikan hasil karya Rothko dirosakkan.

Karya Rothko 1958, Black on Maroon, sengaja dirosakkan oleh lelaki dikenali sebagai Wlodzimierz Umaniec di galeri Tate Modern London pada Oktober 2012.

Wlodzimierz dihukum penjara selama dua tahun atas perbuatannya itu dan seterusnya memohon maaf atas tindakannya.

Semasa perbicaraannya, peguam pendakwa, Gregor McKinley berkata, kos pemulihan kerja itu ialah kira-kira £200,000 (RM1.16 juta). 

Pemuliharaan itu mengambil masa 18 bulan untuk diselesaikan.

Bagaimanapun bagi kes terbaharu yang berlaku di Belanda, nasib kanak-kanak terbabit tidak dapat dipastikan.

Lukisan Mark Rothko pada 1958, Black On Maroon kembali dipamerkan 18 bulan selepas ia dirosakkan. — Agensi

Muzium Boijmans Van Beuningen sebelum ini telah membuat tuntutan kepada pelawat yang telah menyebabkan kerosakan pada karya seni dipamerkan.

Pada 2011, muzium itu meminta seorang pelancong yang secara sengaja memijak karya seni lantai mentega kacang, Wim T. Schippers, bertajuk Pindakaasvloer, untuk membayar kerja pemulihan perlu dilakukan.

Pada Ogos tahun lalu, seorang budak lelaki berusia empat tahun secara tidak sengaja memecahkan balang berusia 3,500 tahun di Muzium Hecht di Israel.

Pada masa itu, pekerja Muzium Hecht, Lihi Laszlo berkata, pihak muzium itu tidak mengambil tindakan keras atas insiden itu kerana balang itu rosak secara tidak sengaja.

Keluarga kanak-kanak terbabit turut dijemput kembali ke pameran bersama keluarganya untuk lawatan yang dianjurkan sejurus selepas kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram