Yasin Sulaiman terlepas jel seumur hidup, dihantar semula ke Hospital Bahagia


Muhammad Yasin Sulaiman pada Isnin menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

SELEPAS tiga tahun berdepan pertuduhan berkaitan dadah, penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman pada Isnin menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, sebulat suara membenarkan rayuan akhir Yasin serta mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah turut memulihkan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang membebaskan serta melepaskan Yasin daripada tiga pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

BACA LAGI : [VIDEO] Ada 4 rekod jenayah, pemandu naik hantu langgar lelaki ditahan — Polis Klang

BACA LAGI : The Cats bernafsu besar, Safawi Rasid-Paulo Josue dalam radar Kuching City, 'back up' Shamie Iszuan

Selain itu, Mahkamah memerintahkan Yasin, 50, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk rawatan bagi tempoh yang akan ditentukan atas budi bicara Sultan Selangor.

Sebaik keputusan diumumkan, Yasin kelihatan melayangkan ciuman ke arah ahli keluarga dan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, sebagai tanda kesyukuran, manakala anak perempuannya yang berusia 17 tahun turut melakukan sujud syukur di galeri awam mahkamah.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan membabitkan pemilikan 193.7 gram dadah jenis ganja, penanaman 17 pokok ganja di kediamannya dan pengambilan dadah berbahaya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan yang membawa kepada sabitan dan hukuman berat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 22 Ogos tahun lalu, termasuk penjara seumur hidup dan 16 sebatan.

Dalam keputusan Mahkamah Tinggi itu, Yasin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan memiliki dadah, penjara seumur hidup dan enam sebatan bagi pertuduhan menanam ganja, serta 10 bulan penjara kerana mengambil dadah.

Semua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Mac 2022. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram