'Saya hanya mahu dia hidup', rintih ibu di Gaza tak sanggup lihat anak tanggung seksa kelaparan


  • Benua
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Kanak-kanak Palestin yang terlantar kelihatan di antara khemah sementara bersebelahan dengan longgokan sampah yang besar di Gaza.

DI wad pediatrik Hospital Nasser, seorang ibu berusia 35 tahun, Samia Ashour duduk di sisi anak lelakinya yang baru berusia 50 hari, Ibrahim. 

Bayi kecil itu hanya memiliki berat kurang daripada dua kilogram. Anggota badannya hampir tidak bergerak dan matanya tidak lagi mengikuti sebarang pergerakan. 

Samia yang kelihatan cengkung dan penuh dengan kesedihan mengayun tubuh lemah anaknya perlahan-lahan, seolah-olah cuba meniupkan semula kehidupan ke dalam jasad yang semakin lemah itu.

BACA LAGI: 'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari

BACA LAGI: '9 tahun bersabar, nafkah semua beri,' peguam syarie saran 4 langkah hadap isteri degil

Pekerja perubatan di Hospital Syahid Al-Aqsa di tengah Semenanjung Gaza menjaga bayi yang dipindahkan dari Rafah.

“Saya menyusu badan setiap hari. Tapi dia makin lemah di depan mata saya," katanya.

Sepanjang kehamilan, Samia hanya makan sekali sehari tanpa sumber makanan berkhasiat.

“Itu saja yang kami ada. Tiada sayur, tiada protein, tiada susu,” katanya.

Kini dia amat memerlukan susu formula, namun tiada satu pun boleh didapati. 

“Walaupun saya ada duit, tak ada apa yang boleh dibeli. Sempadan ditutup. Rak-rak di kedai kosong," katanya. 

Penutupan lintasan sempadan Kerem Shalom iaitu satu-satunya saluran utama bantuan ke Gaza oleh pihak berkuasa Israel sejak 2 Mac lalu telah menamatkan sepenuhnya kemasukan makanan, ubat-ubatan dan susu bayi. 

Israel mendakwa penutupan itu berlaku selepas Hamas enggan melanjutkan gencatan senjata sementara dan tidak membebaskan tebusan Israel.

Namun, bagi lebih dua juta penduduk Gaza, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak dan sekatan itu telah mencetuskan apa yang digambarkan oleh pertubuhan bantuan sebagai kebuluran yang disengajakan. 

Kelaparan kini menyapu kawasan kejiranan bagaikan gelombang kedua peperangan.

“Apa dosa anak-anak ini sehingga harus menanggung derita begini.

“Adakah dilahirkan sebagai rakyat Palestin kini ibarat hukuman mati?" jerit Samia dalam tangisan. 

Tidak hanya Samia, seorang lagi ibu turut menanggung derita serupa di bandar Gaza.

“Anak saya tidak menangis. Dia tidak bergerak, cuma matanya terbuka dan tertutup,” kata Reham Khamis, 29. 

Bayinya, Rana yang berusia 20 hari dan kini menerima rawatan kecemasan di Hospital Arab Al-Ahli.

“Dia sedang kebuluran. Kami semua sedang kebuluran," kata Reham. 

Ketiadaan susu formula dan kekurangan air bersih memaksa keluarga menggunakan alternatif tidak selamat, dicampur pula dengan air tercemar iaitu satu tindakan terdesak yang sering membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

“Ini bukan lagi perang antara tentera. Ini perang terhadap kanak-kanak," kata Reham.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 60,000 kanak-kanak kini berisiko mengalami komplikasi serius akibat kekurangan zat makanan.

Ramai, termasuk Ibrahim dan Rana belum pernah menambah berat badan sejak dilahirkan yang menjadi satu petanda bahaya yang menunjukkan keadaan kesihatan mereka semakin merosot.

Anak-anak Karam Haloub dilihat berhampiran rumah mereka yang rosak di Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza.

Ketua Jabatan Pediatrik di Hospital Nasser, Dr. Ahmed al-Farra berkata, kebanyakan bayi kini lahir dengan berat badan rendah dan pertumbuhan yang terbantut. 

Dalam keadaan terdesak, ibu bapa terpaksa memberi susu formula yang tidak sesuai untuk bayi sehingga mereka tidak cukup zat atau bahkan boleh membahaya nyawa.

Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengeluarkan amaran tegas pada hujung minggu lalu dengan menyifatkan penangguhan bantuan kali ini antara yang paling lama dan paling dahsyat sejak peperangan bermula.

“Tanpa akses kemanusiaan segera, lebih ramai kanak-kanak akan mati yang bukan akibat bom, tetapi akibat kelaparan dan penyakit,” kata kenyataan UNICEF.

Hampir 10,000 bayi berusia bawah enam bulan kini memerlukan bantuan makanan dengan segera.

Program imunisasi kanak-kanak juga terhenti sepenuhnya.

Kanak-kanak Palestin yang terlantar dilihat di pusat perlindungan sementara di Gaza.

Pegawai kesihatan memberi amaran akan risiko besar penularan penyakit seperti polio dan campak iaitu virus yang mudah menyerang sistem imun yang lemah dan cepat merebak di pusat perlindungan.

Petugas kemanusiaan memberi amaran bahawa Gaza kini menghampiri titik tidak boleh pulih. 

Sekalipun bantuan dibenarkan masuk suatu hari nanti, kerosakan kepada ribuan kanak-kanak mungkin sudah tidak boleh diperbaiki.

Bagi ibu seperti Samia dan Reham, penantian itu terlalu menyiksa.

“Saya cuma mahu dia hidup. Saya yang melahirkannya. Kini saya hanya mampu melihat hidupnya perlahan-lahan mula lemah," kata Samia sambil memeluk anaknya.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram