DIBERI kesempatan untuk menyambut bulan Ramadan pada tahun ini merupakan salah satu nikmat daripada ALLAH SWT yang patut digunakan sebaiknya.
Bulan Ramadan turut dikenali sebagai bulan keberkatan memandangkan banyak ganjaran pahala yang boleh dikejar oleh seluruh umat Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, ALLAH memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu neraka, dibelenggu Syaitan supaya tidak mengganggu umat Muhammad s.a.w. dari melakukan pelbagai ibadat, di dalam ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya” [Hadis Riwayat al- Nasai’e].
Kebiasannya umat Islam hanya mengetahui mengenai kelebihan 10 hari terakhir Ramadan, namun banyak ganjaran sebenarnya sudah menanti seawal 10 malam pertama Ramadan.
Solat terawih merupakan salah satu amalan istimewa yang hanya terdapat dalam bulan Ramadan.
Banyak kelebihan 10 hari terawal dalam bulan Ramadan yang perlu diketahui seperti:
1) Terbukanya pintu rahmat
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Awal bulan Ramadan adalah rahmat, pertengahannya maghfirah (pengampunan), dan akhirnya 'Itqun Minan Nar (pembebasan dari api neraka)."
Pada 10 hari pertama di bulan Ramadan, ALLAH membuka pintu rahmat-Nya untuk setiap hamba yang melakukan puasa dan dipandang sebagai seorang yang mulia karena menjalankan ibadah sejak awal.
2) Pahala berlipat kali ganda
Di bulan pahala ini banyak amalan yang memiliki pahala berlipat kali ganda seperti membaca al-Quran.
Malah, dengan membaca al-Quran mampu mendatangkan ketenangan hati dan rahmat.
"Di antara amal kebajikan yang sangat dianjurkan dilakukan di bulan Ramadan adalah tadarus al-Quran. Tadarus al-Quran berarti membaca, merenungkan, menelaah dan memahami wahyu-wahyu ALLAH SWT yang turun pertama kali pada malam bulan Ramadan." [Surah Al Baqarah ayat 185].
3) Berada di lindungan ALLAH
Orang yang menjalani puasa di 10 hari pertama Ramadan mendapat keistimewaan daripada ALLAH SWT.
Antaranya, seseorang akan selalu dalam lindungan ALLAH SWT selama bulan Ramadan serta selalu berada dalam petunjuk-Nya.
4) Waktu yang tepat untuk berdoa
Di bulan suci Ramadan, banyak waktu yang mustajab untuk berdoa seperti semasa berpuasa, sahur, azan berkumandang dan malam Lailatul Qadar.
Menunaikan solat terawih di masjid merupakan salah satu amalan yang boleh dibuat pada bulan Ramadan.
Tidak hanya itu, bulan Ramadan merupakan satu-satunya bulan yang memiliki ibadah khusus seperti solat tarawih.
Walaupun hanya sunnah, tetapi solat tarawih memiliki pahala yang besar dan banyak kelebihan.
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA, banyak kelebihan menunaikan solat terakhir pada 10 malam terawal bulan Ramadan mengikut sabda Rasulullah SAW seperti yang disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah Arash menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain dan semoga ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Solat Tarawih Malam Kelima
ALLAH SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram, Masjid al-Madinah dan Masjid al-Aqsa.
Solat Tarawih Malam Keenam
ALLAH SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Bait al-Ma’mur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih pada malam itu.
Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah dia dapat bertemu dengan Nabi Musa AS serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
Solat Tarawih Malam Kelapan
ALLAH SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim AS.
Solat Tarawih Malam Kesembilan
ALLAH SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.
Solat Tarawih Malam Kesepuluh
ALLAH SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram