Bimbang kerja sekolah tak siap, sanggup bawa buku teks ke SNBJ demi Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 09 Sep 2024

Pengguna Facebook itu menceritakan bagaimana anaknya membawa kerja rumah ke Stadium Nasional Bukit Jalil ketika final Pestabola Merdeka pada Ahad.

SELEPAS hampir 14 tahun, penantian negara untuk mengecapi kejayaan tamat setelah skuad kebangsaan menundukkan Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Kemenangan tipis 1-0 diperoleh menerusi gol Romel Morales itu menyaksikan Harimau Malaya menjuarai kejohanan tersebut buat kali ke-13 yang amat bermakna buat pasukan negara.

Tetapi, kemeriahan kurang dirasai di venue perlawanan apabila sebahagian penyokong bertindak memboikot pertandingan itu sebagai tanda protes terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

BACA LAGI: Tak ramai tak apa, Bukit Jalil bergema sorak kemaraan HM ke final Pestabola Merdeka

BACA LAGI: 'Ada tak kena', Harimau Malaya didesak tingkatkan persembahan jika mahu benam Lubnan

458771756_1221347542271813_4818458367742558260_n

Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka selepas menundukkan Lubnan. Facebook/FAM

Tindakan itu menyaksikan jumlah kehadiran tidak melebihi 5,000 dengan ia sudah tentu sedikit dirasai 11 pemain yang bertungkus-lumus di atas padang.

Bagaimanapun, kemeriahan masih dirasai apabila penyokong tidak putus memberi sorakan demi menaikkan lagi semangat Harimau Malaya dalam kejohanan bersejarah itu.

Seperti biasa, pelbagai kerenah dapat disaksikan dalam kalangan penonton bola sepak yang masing-masing mempunyai kisah dan pengorbanan tersendiri demi memberi sokongan buat pasukan kegemaran.

Antara perkongsian menarik untuk diceritakan adalah daripada seorang pengguna Facebook, Yosh Yush Yish yang hadir bersama ahli keluarga dengan ia juga merupakan kali pertamanya hadir ke stadium.

WhatsApp Image 2024-09-09 at 10.09.14 AM

Beberapa keping foto yang dimuat naik Yosh Yush Yish dalam hantaran tersebut.

"Jumpa balik sahabat lama, salah seorang yang saya hormati semasa bersama-sama kerja dalam bidang media. Disenangi, mudah bekerjasama dan daripada dahulu tetap tenang. Terubat rindu dengar gelak dia, terima kasih Bang Ajijul.

"Terima kasih juga kepada seorang lagi sahabat yang beri panduan kepada kami bermula dari nak ke stadium sehingga mahu pulang. Cukup lengkap penerangan, tanpanya mungkin kami terpinga-pinga," katanya.

Berdasarkan perkongsian pengguna media sosial itu, dia hadir bersama isteri dan dua orang anaknya dengan semua daripada mereka amat bersemangat dengan mengenakan jersi Harimau Malaya dan membawa Jalur Gemilang.

Namun, kisah menarik tersebut tidak terhenti di situ apabila pemilik akaun berkenaan juga menceritakan bagaimana salah seorang anaknya sanggup membawa kerja sekolah ke perlawanan itu.

458772754_1221548902251677_3526085054342831891_n

Pemain Harimau Malaya mengambil gambar bersama penyokong yang hadir ke stadium. Facebook/FAM

"Kakak, pada minit-minit akhir tak mahu ikut kerana kerja rumah masih belum siap. Saya bagi cadangan bawa beg dan buku ke stadium. Tukang yang memeriksa beg pun terkejut kerana ada buku teks dan buku latihan di dalam beg," tulisnya lagi.

Perkara itu sudah tentu akan meninggalkan kenangan manis buat mereka sekeluarga, lebih-lebih lagi apabila dapat menyaksikan kejayaan skuad kebangsaan dalam Pestabola Merdeka.

Sekiranya pendedahan sebegitu sudah dibuat ibu bapa, tidak mustahil arena bola sepak negara akan menjadi semakin meriah pada masa-masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram