Tahun 2032 paling awal komet hentam bumi, NASA ramal peratusan kian menurun


  • Benua
  • Ahad, 09 Mac 2025

NASA ramal peratus asteroid 2024 YR4 hentam bumi kian menurun.

UNTUK seketika, asteroid 2024 YR4 kelihatan seperti ancaman besar kepada Bumi.

Dengan diameter mencecah 90 meter, ia pernah digelar sebagai pemusnah bandar kerana berpotensi menghentam Bumi seawal 2032.

Menurut Skala Bahaya Impak Torino, yang digunakan untuk menilai ancaman asteroid, ia mencapai tahap 3 daripada 10 iaitu satu penilaian jarang berlaku yang menunjukkan risiko perlanggaran yang tidak boleh diabaikan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tetak pekerja kedai nasi kandar sampai mati, polis cari 4 suspek di Tasek Gelugor

BACA LAGI: Sempat beritahu nenek nak datang bawa makan malam, cucu maut, seorang lagi parah motosikal dirempuh kereta di Seremban

Namun, keadaan kini lebih terkawal. Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) berjaya mengurangkan kebarangkalian impak kepada 0.0017 peratus jauh lebih rendah berbanding anggaran tertinggi sebelumnya, iaitu 3.1 peratus.

Walaupun YR4 kini tidak lagi menjadi ancaman, penemuan asteroid itu yang dikesan pada penghujung Disember 2024 membuktikan bahawa Bumi masih terdedah kepada bahaya dari angkasa.

Setakat ini, lebih 38,000 asteroid telah dikenal pasti berhampiran Bumi termasuk 973 asteroid bersaiz lebih 800 meter yang mampu menyebabkan kemusnahan global.

Kebanyakan asteroid itu tidak membawa risiko, namun NASA menganggarkan hanya sekitar 43 peratus daripada asteroid melebihi 140 meter telah dikenal pasti. 

Sekiranya asteroid sebesar YR4 menghentam Bumi, ia boleh menyebabkan kemusnahan besar dan mengorbankan ribuan nyawa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, usaha pertahanan NASA terhadap ancaman asteroid telah meningkat. 

Agensi itu telah membangunkan sistem pemantauan Sentry untuk mengesan asteroid berhampiran, menubuhkan Pejabat Penyelarasan Pertahanan Planet (PDCO) serta merancang pelancaran teleskop inframerah baharu pada 2027.  

Paling menonjol, NASA berjaya melaksanakan ujian Double Asteroid Redirection Test (DART) pada 2022.

Dalam ujian itu, sebuah kapal angkasa dihantar untuk menghentam asteroid berukuran 170 meter yang terletak sejauh 11 juta kilometer dari Bumi. 

Hasilnya, laluan asteroid tersebut berjaya diubah sekali gus membuktikan bahawa NASA mampu mengalihkan asteroid yang berpotensi mengancam Bumi.

Bagi asteroid YR4, tindakan pantas diambil selepas peluang impaknya melebihi 1 peratus. 

Ini mencetuskan amaran global dalam kalangan agensi angkasa.

Pasukan astronomi segera menggunakan Teleskop Angkasa James Webb untuk mengkaji asteroid ini, manakala dua kumpulan tajaan PBB menyelaraskan respons antarabangsa.

Bagaimanapun, pemerhatian lanjut mengesahkan bahawa ancaman ini dapat dielakkan.  

Namun, persediaan dunia dalam menghadapi ancaman asteroid masih perlu diperkemaskan.

NASA perlu mempercepatkan usaha memenuhi mandat Kongres AS sejak 2005 untuk mengenal pasti 90 peratus asteroid besar yang berpotensi menghampiri Bumi.

Teleskop baharu, NEO Surveyor bakal membantu dalam pencarian ini, namun pembiayaan NASA sering terbeban oleh projek lain yang kurang kritikal seperti misi membawa angkasawan kembali ke bulan menggunakan roket kerajaan yang menelan belanja sebanyak RM441.4 bilion. (AS$100 bilion).  

Oleh itu, tumpuan terhadap penyelidikan asteroid harus diberi keutamaan.

Kongres juga wajar menyediakan dana tambahan bagi menjalankan lebih banyak misi ujian keupayaan pertahanan angkasa, berpandukan model DART.

Teknik menghentam asteroid menggunakan impak kinetik adalah salah satu cara, namun ia mungkin tidak sesuai untuk semua ancaman.  

Alternatif lain seperti traktor graviti, pancaran ion dan penggunaan peranti nuklear perlu dikaji dengan lebih mendalam sebagai langkah perlindungan yang lebih berkesan.  

Dari segi kerjasama antarabangsa, koordinasi masih belum kukuh.

Latihan interagensi tahun lalu mendapati persediaan menghadapi impak asteroid masih terhad, dengan proses membuat keputusan yang tidak jelas.  

Kongres AS perlu menentukan peranan agensi eksekutif dalam situasi sebegini, manakala Amerika Syarikat harus terus mengadakan latihan pertahanan planet bersama negara angkasa lain serta Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB.  

Walaupun asteroid YR4 kini bukan lagi ancaman, dunia perlu menyedari bahawa Bumi berada dalam persekitaran angkasa yang berbahaya.

Memastikan keselamatan planet ini memerlukan usaha berterusan, pemantauan rapi dan kecerdikan manusia dalam mencari penyelesaian terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram