KAPAL angkasa Starship milik SpaceX mengalami kegagalan selepas terputus hubungan selama lapan minit pada misi ujian ketujuhnya pada Khamis.
Pelancaran yang berlangsung pukul 5:38 petang waktu tempatan dari kemudahan SpaceX di Boca Chica dakat Texas, Amerika Syarikat itu turut menyaksikan kejayaan penangkapan booster menggunakan lengan mekanikal buat kali kedua.
Namun, sayangnya kapal angkasa tersebut akhirnya musnah akibat masalah pada bahagian atas roket.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye
BACA LAGI: [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk turut berkongsi rakaman video serpihan yang jatuh selepas insiden itu sambil bergurau bahawa 'hiburan dijamin'.
Roket setinggi 123 meter itu berlepas dari Boca Chica, berhampiran sempadan Mexico.
Starship dijadualkan untuk terbang melintasi Teluk Mexico dalam laluan hampir mengelilingi dunia, sama seperti ujian terdahulu.
Kapal angkasa itu juga membawa 10 satelit dummy sebagai latihan untuk pelepasan muatan, dengan misi dijadualkan berakhir di Lautan Hindi.
Namun, kira-kira lebih minit selepas pelancaran, hubungan dengan kapal angkasa tersebut terputus.
Menurut laporan Reuters, kegagalan itu berpunca daripada masalah pada peringkat atas roket, yang menjadi insiden pertama seumpamanya sejak Mac tahun lalu.
Dalam insiden itu, roket Starship pecah semasa memasuki semula atmosfera bumi.
Sebelum kehilangan kapal angkasa, SpaceX berjaya menangkap semula booster menggunakan sepasang lengan mekanikal gergasi yang digelar chopsticks.
Booster tersebut melayang dengan stabil sebelum digenggam oleh lengan robotik di tapak pelancaran. Ini adalah kali kedua SpaceX berjaya melaksanakan prosedur tersebut, selepas menara tangkap dinaik taraf berikutan kegagalan ujian pada November lalu yang menyebabkan kerosakan pada sensor.
Kapal angkasa untuk misi itu turut dinaik taraf bagi demonstrasi terbaru. Satelit dummy yang digunakan bersaiz sama dengan satelit internet Starlink SpaceX dan dirancang untuk dilepaskan ke orbit sebelum dijatuhkan ke Lautan Hindi.
Misi ujian ketujuh Starship itu juga menandakan langkah penting bagi roket terbesar dan paling berkuasa di dunia.
SpaceX merancang untuk menggunakan Starship bagi pelancaran satelit Starlink sebenar sebelum meneroka aplikasi lain, termasuk membawa kru angkasawan.
NASA juga telah menempah dua Starship untuk misi pendaratan angkasawan di bulan pada dekad ini, sementara Elon Musk mengimpikan perjalanan ke Marikh.
Dalam perkembangan lain, syarikat pesaing, Blue Origin milik Jeff Bezos, melancarkan roket New Glenn di Florida, Amerika Syarikat pada hari yang sama (Khamis).
Roket tersebut berjaya mencapai orbit pada penerbangan pertamanya dan meletakkan satelit eksperimen ribuan batu di atas Bumi. Namun, booster peringkat pertama gagal mendarat di platform terapung di Atlantik dan musnah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram