
BEBERAPA kesatuan sekerja di China mengeluarkan notis kepada syarikat-syarikat agar berhenti bertanya kepada wanita yang sedang mencari kerja tentang status perkahwinan dan kelahiran anak.
Ini berikutan kebimbangan mengenai diskriminasi di tempat kerja selain tanda menolak desakan kerajaan yang mengharapkan kadar kelahiran negara terus meningkat.
Amalan pemohon kerja mengisytiharkan status perkahwinan dan kelahiran anak telah lama dilihat sebagai cara majikan di China mengelakkan pengambilan wanita yang merancang untuk berkahwin atau mempunyai anak dalam masa terdekat.
"Majikan tidak boleh terus bertanya atau menyiasat status perkahwinan dan kelahiran anak pemohon kerja wanita,” menurut satu notis daripada kesatuan sekerja yang disokong kerajaan di wilayah Hunan, China.
Ia disiarkan minggu lalu di platform media sosial China, WeChat bersempena dengan Hari Wanita Sedunia
BACA LAGI: Hapus stereotaip jantina, Amaziasizamoria ubah landskap sains dengan pemulihan hutan di Sabah
Notis itu juga menekankan bahawa majikan tidak boleh menghadkan pengambilan pekerja kepada lelaki sahaja, menyatakan keutamaan terhadap pemohon lelaki atau mewajibkan ujian kehamilan sebagai syarat pekerjaan.
Notis serupa turut disiarkan oleh kesatuan sekerja di hab perindustrian selatan di Shenzhen serta di wilayah barat laut, Qinghai.
Notis-notis sedemikian telah banyak dikongsi di media sosial dalam beberapa hari kebelakangan ini. Ia mencetus perdebatan dalam kalangan warganet mengenai cabaran yang dihadapi wanita ketika memohon pekerjaan.
“Pekerja wanita dijangka berbohong apabila majikan bertanya soalan peribadi sewaktu temu duga dan memberikan jawapan yang memuaskan supaya mereka diterima berkerja,” kata seorang pengguna di platform media sosial China, Xiaohongshu, yang juga dikenali sebagai RedNote.
Walaupun sesetengah majikan lebih suka pekerja wanita mereka kekal bujang, wanita menerima arahan sebaliknya daripada kerajaan China yang mendesak mereka agar berkahwin dan mempunyai anak.
Ini adalah langkah bagi membantu menangani masalah populasi yang semakin berkurangan kerana China antara negara menua dengan kedar terpantas.
Wanita digalakkan untuk menerima peranan yang lebih 'tradisional' dalam masyarakat sebagai isteri dan ibu.
Pemimpin China, Xi Jinping, secara peribadi telah menyeru wanita untuk mempromosikan 'budaya melahirkan anak' dan beberapa pihak tampil menunjukkan sokongan mereka terhadap pendirian Beijing ini.
Bulan lalu, sebuah syarikat di China menarik balik dasar yang mengancam pekerja yang tidak pernah berkahwin dan yang telah bercerai dengan pemecatan jika mereka masih bujang menjelang akhir September, selepas mendapat bantahan awam.
Notis syarikat itu mengkritik pekerja bujang kerana 'tidak menyahut seruan negara'.
Walaupun wanita membuat perubahan di tempat kerja, mencapai kesaksamaan jantina masih menjadi perjuangan yang sukar di China.
Hanya pada tahun 2012, Majlis Negara, iaitu kabinet China, melarang majikan daripada mengurangkan gaji pekerja wanita atau menamatkan kontrak mereka kerana kehamilan dan kelahiran anak.
Dalam usaha menggalakkan kelahiran anak, pegawai China telah melaksanakan beberapa langkah termasuk subsidi, peningkatan penjagaan kanak-kanak dan cuti bersalin yang lebih panjang.
Namun, langkah-langkah itu mempunyai kesan terhad ke atas wanita China, yang menyatakan kebimbangan tentang ketinggalan dalam kerjaya sebagai salah satu sebab mereka teragak-agak untuk mempunyai anak.
Satu per tiga wanita di negara itu masih mengambil kurang daripada 98 hari cuti bersalin yang mereka layak, menurut satu tinjauan tahun lalu oleh Institut Kajian Wanita China.
Walaupun notis daripada kesatuan sekerja itu dipuji oleh sesetengah pihak sebagai satu langkah ke hadapan untuk wanita, ada juga yang mempersoalkan sama ada syarikat akan mengambilnya secara serius.
“Adakah akan ada hukuman bagi mereka yang melanggar peraturan? Kemungkinan besar tidak,” baca satu komen di Xiaohongshu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram