
PERSONALITI Fox News dan pelawak, Kat Timpf, 36, selamat melahirkan bayi lelaki dalam kondisi kesihatannya menghidap kanser payudara tahap awal.
Ahli Panel sebuah program bual bicara, Gutfeld itu mengumumkan berita tersebut melalui satu hantaran di media sosialnya bertajuk An Unconventional Birth Announcement.
"Pada minggu lalu, saya menyambut kelahiran anak pertama. Namun, kira-kira 15 jam sebelum bersalin, saya didiagnos menghidap kanser payudara," katanya.
Pun begitu, Timpf menyeru pengikutnya agar tidak terlalu risau kerana doktor memaklumkan kanser berkenaan berada pada tahap awal dan belum merebak.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Timpf dan suami, Cameron berkahwin pada 2021.
"Saya sudah beritahu beberapa orang tentang perkara ini untuk tidak panik. Ia cuma kanser pada tahap awal," katanya sambil menjelaskan bahawa langkah terbaik untuknya adalah menjalani pembedahan mastektomi berganda.
Timpf yang mengumumkan kehamilannya pada Julai tahun lalu memberitahu, sehari sebelum bersalin, beliau bangun pagi dengan perasaan tertekan berikutan kandungan melepasi tarikh jangkaan bersalin dan berusaha sedaya upaya mempercepatkan proses kelahiran.
Pada sebelah petang pula, beliau sibuk berulang-alik ke pusat perubatan untuk memenuhi janji temu bersama doktor bagi membincangkan rawatan kansernya.
Kemudian pada tengah malam, beliau mengalami kontraksi mengejut dan kelahiran berlaku secara spontan.
Menurut beliau, sebaik sahaja anaknya dilahirkan, beliau berbual dengan jururawat tentang bagaimana pengumuman kelahirannya patut dibuat dalam situasi berkenaan.
Beberapa cadangan termasuk, 'Ibu dan bayi dalam keadaan baik, kecuali mungkin ibu ada kanser' atau 'Bayi tak dapat menyusu kerana ibunya sudah menjalani mastektomi berganda'.
Penulis buku You Can’t Joke About That dan I Used to Like You Until... itu mengakui tempoh tiga bulan cuti bersalin tidak akan berjalan seperti dibayangkannya sebelum ini kerana masih dalam proses menyesuaikan diri dengan realiti baharu.
"Sambil saya belajar menjadi ibu dan menghadapi kanser ini, saya menghargai setiap detik yang ada. Saya bernasib baik kerana kanser ini dikesan awal dan bersyukur menjadi ibu kepada anak saya," luahnya.
Hos rancangan Sincerely tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada peminat dan pengikutnya atas sokongan ketika beliau melalui fasa luar jangkaan itu.
Dalam sebuah artikel diterbitkan oleh Fox News pada Julai lalu, Timpf mengakui bahawa beliau tidak pernah merancang mempunyai anak sehinggalah mendirikan rumah tangga bersama Cameron Friscia, pada 2021.
"Bertemu dengannya membuatkan saya rasa ingin mempunyai anak dan mungkin itu satu perkara menarik," tulisnya ketika itu.
Katanya, keputusannya untuk mempunyai anak berpunca daripada beberapa faktor, iaitu perasaan seperti ada sesuatu yang kurang dalam hidupnya, rasa ingin tahu dan hakikat bahawa dirinya sudah mencapai segala-galanya dalam hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram