'Doktor pun manusia biasa perlukan rehat,' keputusan kembalikan cuti bersalin 90 hari disambut baik


  • Sihat
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Cuti bersalin terhadap pegawai perubatan di beberapa klinik kesihatan Hulu Langat yang dihadkan kepada 60 hari telah dikembalikan kepada 90 hari.

PENGEMBALIAN semula cuti bersalin pegawai perubatan kepada 90 hari disambut baik oleh ramai masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook, netizen bersetuju dengan tindakan Menteri Kesihatan yang menyelesaikan sepenuhnya isu cuti bersalin yang sebelum ini dihadkan kepada 60 hari.

Antaranya, seorang pengguna, Ezz Nawi yang berpendapat bahawa pegawai perubatan juga memerlukan rehat yang secukupnya sama seperti manusia lain.

"Kesian pegawai, sakit pun dipaksa kerja. Bagi sahajalah cuti rehat macam orang ramai. Mereka pun mahu sihat, bukan asyik kena jaga orang yang tidak sihat," katanya.

BACA LAGI: Badan naik merah terkena sinaran UV walaupun sesaat, ketahui risiko penyakit Xeroderma Pigmentosum mengundang kanser

BACA LAGI: Kanak-kanak ada kolesterol tinggi berpotensi dapat penyakit jantung awal

WhatsApp Image 2024-08-06 at 5.19.45 PM

Seorang wanita yang baru sahaja bersalin memerlukan rehat yang secukupnya.

Tidak hanya itu, pengguna lain, Cahaya Indah beranggapan bahawa kebajikan doktor perlulah dijaga memandangkan orang ramai memerlukan khidmat mereka.

"Jagalah betul-betul kebajikan doktor kerana masyarakat perlu perkhidmatannya," katanya.

Seorang pengguna lain, Nabil beranggapan bahawa pegawai perubatan perlulah diberi wang pampasan sekiranya tidak mendapat cuti yang selayaknya.

"Kalau tidak dapat cuti kena gantilah dengan pampasan kewangan. Dia tak dapat cuti yang selayaknya dia dapat. Mana boleh setuju macam itu sahaja kerana itu hak dia, " katanya.

Pada Selasa petang, Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa cuti bersalin terhadap pegawai perubatan di beberapa klinik kesihatan Hulu Langat yang dihadkan kepada 60 hari telah dikembalikan kepada 90 hari.

"Kementerian sedar bahawa cuti bersalin sangat penting dan perkara ini telah diselesaikan dengan pegawai perubatan diberi lanjutan 90 hari," katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dr Dzulkefly berkata, sebagai langkah penyelesaian terhadap kekurangan sumber manusia ketika doktor lain sedang cuti bersalin, kementerian akan melakukan mobilisasi pegawai perubatan.

"Doktor dari daerah yang sama akan dimobilisasi ke klinik yang memerlukan bagi tempoh tersebut.

"Agak malang perkara ini berlaku dan insya-ALLAH ke depan kita akan memastikan (perkara ini tidak berulang).

"Kita adalah kementerian yang seharusnya menunjukkan yang seharusnya menunjukkan empati dan belas kasihan kepada kakitangan," katanya.

Sebelum ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat bertindak mengehadkan cuti bersalin kepada 60 hari untuk semua pegawai perubatan di klinik kesihatan awam sejak 27 Jun lepas sebagai langkah mengatasi kekurangan doktor.

Pada Ahad lepas, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari telah dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan.

Keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan telah cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram