
ATLET remaja perempuan dari Virginia, Amerika Syarikat yang dirakam memukul kepala lawan dengan baton semasa Kejohanan Tertutup Virginia High School (VHSL) Kelas 3 mengadakan perhimpunan sokongan pada Khamis lalu untuk menegaskan dia tidak bersalah.
Perhimpunan itu berlangsung sehari selepas Alaila Everett dikenakan pertuduhan kesalahan ringan atas tuduhan serangan dan keganasan pada Selasa lalu.
Difahamkan, remaja berkenaan mengadakan perhimpunan di luar sekolahnya, I.C. Norcom High School, di Portsmouth, Virginia.
BACA LAGI: [VIDEO] Acara 4x200m di AS kecoh, pelari diserang guna kayu baton hingga alami gegaran otak
Puluhan individu turut hadir dalam perhimpunan itu, di mana Alaila menyampaikan ucapan penuh emosi sambil menangis, mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya.
"Terima kasih kepada semua yang menyokong saya.
"Tiada sesiapa yang mahu mendengar cerita saya, kecuali mereka yang mengenali saya dan tahu bahawa saya tidak akan melakukan perkara seperti itu. Saya tidak akan mencederakan sesiapa.
"Saya bukan seorang yang suka bergaduh, saya bukan jenis konfrontasi, saya tidak akan melakukan perkara itu dengan sengaja, dan saya berterima kasih kerana anda semua percaya pada saya. Saya sayang anda semua," kata Alaila kepada penyokongnya, seperti yang dilihat dalam rakaman berita tempatan Virginia, WAVY.
Dah kalah pukul kepala orang pulak. Mehhhhh pic.twitter.com/kdsB8sjSYP
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) March 15, 2025
Ucapan Alaila disambut dengan tepukan gemuruh serta sorakan daripada puluhan penyokongnya.
Sementara itu, Presiden NAACP Portsmouth, James Boyd, turut berucap dalam perhimpunan tersebut, mendakwa bahawa keluarga Alaila menerima ancaman serta cercaan berbaur perkauman.
“Keluarga Everett mengalami cercaan perkauman, mereka menerima ancaman bunuh, dan kami dengan tegas menyatakan bahawa perkara itu tidak boleh diterima," kata Boyd.
Pada masa sama, aktivis komuniti tempatan, Germain Green, menyeru masyarakat supaya bersatu menyokong Alaila.
"Saya benar-benar terkilan melihat bagaimana seluruh dunia mengecam gadis muda ini, mencemarkan namanya hanya berdasarkan apa yang mereka sangka mereka lihat.
"Saya hanya mahu tampil, bersuara, dan membawa perpaduan serta memberi tahu gadis ini bahawa bandar Portsmouth menyokongnya," kata Green.
Hundreds of people gathered to support Track star Alaila Everett after believing she’s being wrongly accused of purposefully attacking another track star.
“Thank you for believing me!” pic.twitter.com/fLs3inrltY
— Rain Drops Media (@Raindropsmedia1) March 13, 2025
Pejabat Peguam Commonwealth Lynchburg mengesahkan kepada Fox News Digital pada Rabu lalu satu pertuduhan kesalahan ringan atas tuduhan serangan dan keganasan difailkan pada Alaila berhubung insiden tersebut.
Insiden itu berlaku pada Selasa lalu semasa pertandingan kejuaraan, di mana rakaman menunjukkan Alaila menghentak baton ke kepala pelari junior dari Brookville High School, Kaelen Tucker, semasa perlumbaan berganti-ganti.
Everett dan seluruh pasukannya disingkirkan serta merta.
Kaelen kemudiannya disahkan mengalami gegaran otak serta kemungkinan retak tengkorak selepas rakaman insiden tersebut tular.
Alaila sejak itu menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak disengajakan dalam temu bual media tempatan.
Liga Sekolah Menengah Virginia (VHSL) sebelum ini mengeluarkan kenyataan kepada Fox News Digital mengenai perkara itu.
“VHSL tidak memberikan komen mengenai individu atau tindakan disiplin.
"Tindakan yang diambil oleh pengarah pertandingan untuk menyingkirkan pelari adalah tepat dan betul.
"Kami sentiasa mengkaji setiap kejadian seperti ini yang melibatkan keselamatan pemain bersama sekolah yang terlibat. Keahlian VHSL sentiasa mengutamakan keselamatan atlet pelajar dalam pertandingan," katanya.
Kaelen mengalami kecederaan kepala susulan serangan dialaminya ketika larian itu. — Agensi
Fox News Digital juga menghubungi Daerah Sekolah Awam Portsmouth untuk mendapatkan komen daripada keluarga Alaila.
Sebelum pertuduhan kesalahan ringan diumumkan terhadap Alaila, NAACP Portsmouth mengeluarkan kenyataan mempertahankan remaja tersebut pada hari Rabu.
"Alaila bukan penyerang dan tajuk-tajuk berita yang menggambarkannya sedemikian rupa adalah memalukan.
"Kami memahami sensitiviti situasi bagi kedua-dua atlet serta keluarga mereka yang terlibat, tetapi naratif ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, Alaila merupakan seorang pelajar cemerlang dan atlet berbakat.
"Berdasarkan semua maklumat, dia adalah seorang pemimpin muda dan cendekiawan luar biasa yang bakat olahraganya didokumentasikan serta diiktiraf di seluruh negeri.
"Dia membawa diri dengan penuh integriti di dalam dan di luar padang, dan sebarang naratif yang menganggapnya bersalah atas sebarang jenayah adalah satu pelanggaran terhadap hak proses undang-undangnya,” jelas kenyataan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram