
KEMALANGAN di tempat kerja boleh berlaku kepada sesiapa dan pada bila-bila masa sahaja tanpa dapat diduga.
Sama seperti kejadian yang pernah berlaku melibatkan seorang pekerja binaan atau kontraktor di Taiwan pada Februari 2023.
Menerusi video tular semula di media sosial sejak Isnin, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyelia kawasan binaan dengan menggunakan kren yang disambung dengan sebuah trak dengan sejumlah besar konkrit.
BACA LAGI: [VIDEO] Suami maut, isteri parah motor dirempuh lori ketika keluar simpang di Batu Pahat
Dalam kejadian itu, mangsa yang berada di atas kren dilihat tidak memakai sebarang alat keselamatan, terutama topi keledar khas bagi pekerja binaan.
Mangsa juga dilaporkan cuba mengawal pergerakan kren menggunakan alat kawalan.
Namun, disebabkan terdapat gangguan teknikal, tiang sokongan yang sepatutnya dikunci tidak berfungsi dan kemudiannya hilang kawalan.
Pada masa sama, kren itu juga dilihat mula bergerak secara senget sekali gus menyebabkannya hilang keseimbangan dan hampir tumbang.
Mangsa yang panik pada waktu itu cuba lari untuk menyelamatkan diri, namun gagal berbuat demikian apabila konkrit di atas truk jatuh lalu menghempapnya.
Mangsa juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Susulan kejadian itu, syarikat terbabit diarahkan operasinya dihentikan serta didenda sebanyak kira-kira 293,639 Dolar Taiwan (RM40,000).
Kejadian itu bagaimanapun dilihat masih berulang selepas beberapa bulan ia berlaku.
Pada September 2024, berlaku juga kemalangan seakan-akan sama di Taiwan apabila seramai tiga pekerja binaan maut selepas kren mudah alih dinaik mereka terjatuh.
Kejadian itu juga berlaku disebabkan tiada ciri-ciri keselamatan ditetapkan dan kren tersebut digunakan secara lebih muatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram