Sehari selepas solat hajat, mayat pemuda lemas 7 hari lalu ditemukan terapung di Sungai Batu Talam


  • 112
  • Isnin, 10 Feb 2025

Mayat Ahmad Khairul ditemukan sehari selepas ahli keluarga dan penduduk kampung mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk. — Gambar/UmnoRaub

MAYAT seorang lelaki yang hilang di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam, Raub, Pahang Selasa minggu lalu ditemukan lemas pada Isnin.

Difahamkan, mayat Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, ditemukan sehari selepas ahli keluarga dan penduduk kampung mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Negeri Pahang, Wan Ahmad Fadillah Datuk Wan Abdul Rahman berkata, mangsa berjaya ditemukan dengan bantuan petunjuk lokasi oleh orang kampung.

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

BACA LAGI: [VIDEO] Perkelahan bertukar tragedi, datuk meninggal dunia lepas selamatkan 2 cucu di Pantai Irama

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin membuat pencarian dengan menggunakan teknik di permukaan air dan skin dive di lokasi.

"Mayat mangsa berjaya ditemukan tertimbus di dasar sungai dan berjaya dinaikkan pada jam 1.25 petang ini.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau lagi, pencarian menggunakan anjing Unit Pengesan K9 ke kawasan sungai paling jauh dianggarkan pada jarak 25 hingga 30km sebelum melepasi kawasan jeram dan mudik semula ke atas bagi kerja pencarian.

"Bot-bot lain turut bergerak bagi melaksanakan kerja-kerja pencarian di permukaan air di kawasan sekitar lubuk serta kawasan timbunan kayu.

"Seramai 57 anggota mencari dan menyelamat (SAR) dari pelbagai agensi termasuk penduduk kampung terbabit serta dibantu anjing pengesan K9 dalam operasi yang dijalankan sejak kejadian itu," katanya.

Terdahulu, mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batu Talam pada 4.08 petang Selasa minggu lalu.

Pelbagai usaha dilakukan oleh penduduk kampung dan pihak berkuasa bagi mengesan mayat mangsa termasuk melakukan solat hajat bagi mempermudahkan usaha pencarian Ahmad Khairul Nizam. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram