Warga Kepong kecewa, projek pembinaan, 'renovate' mall tak siap-siap selama sedekad


  • Massa
  • Isnin, 10 Feb 2025

Kereta yang diletakkan secara haram di Jalan Jambu, Kepong, Kuala Lumpur.

KERJA-KERJA menaik taraf dan memperluaskan sebuah pusat beli-belah di sepanjang Jalan Jambu, Kepong, Kuala Lumpur yang masih dijalankan hanya menambah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Aktivis masyarakat, Yee Poh Ping berkata, pembinaan bahagian bawah tanah dan dua tingkat pusat beli-belah itu telah berlanjutan selama lebih 10 tahun tanpa tanda-tanda akan siap.

Yee berkata, pagar penghadang yang digunakan untuk memisahkan kawasan pembinaan dari Jalan Jambu sudah dipasang sejak projek itu diluluskan pada 2014.

“Penghadang itu diletakkan betul-betul di tepi jalan tanpa ruang penampan di jalan yang sibuk ini.

“Apabila pemandu tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan mereka di sebelah penghadang, ia menjejaskan kelancaran trafik,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bertarung nyawa 12 jam di bawah runtuhan, 3 pekerja maut bangunan di tapak pembinaan haram tiba-tiba runtuh di Sepanyol

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan berani jurulatih peluk pelajar putus cinta, cuba lepaskan tembakan rambang di Portland masih dikenang selepas 6 tahun

6145599881746695226

Kolam air bertakung menimbulkan kebimbangan mengenai terjadinya tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Tambahnya lagi, keadaan menjadi lebih teruk pada waktu puncak dengan kehadiran kenderaan berat yang menggunakan laluan tersebut.

"Tiada tarikh penyelesaian ditetapkan bagi pembinaan ini," katanya dengan merujuk kepada notis pembangunan di tapak tersebut.

Ketika tinjauan dilakukan oleh StarMetro, tiada sebarang aktiviti pembinaan kelihatan.

Keadaan di lokasi menunjukkan kerja-kerja pembinaan terhenti sejak sekian lama.

Buktinya, wujud troli beli-belah yang rosak dan longgokan bahan binaan ditinggalkan di tapak tersebut.

Air bertakung turut kelihatan di bahagian bawah tanah, yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan kes denggi dalam kalangan penduduk.

Yee menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencari penyelesaian termasuk menetapkan tempoh masa untuk menyiapkan projek itu.

Beliau turut menekankan bahawa ramai penduduk yang berkunjung ke pusat beli-belah atau menikmati makanan di gerai sepanjang Jalan Jambu sering meletakkan kenderaan secara haram di tepi jalan.

“Dahulu, terdapat petak parkir di tepi jalan tetapi kini tiada lagi.

“Pengguna kini terpaksa meletakkan kenderaan di dewan komuniti berhampiran yang mempunyai ruang terhad atau menggunakan tempat letak kereta dalam pusat beli-belah,” katanya.

Seorang pemandu warga emas yang dilihat meletakkan kenderaannya di sepanjang pagar penghadang berkata, kekurangan parkir awam merupakan satu masalah.

“Saya tahu terdapat tempat letak kereta di dalam pusat beli-belah tetapi saya tidak yakin untuk memandu hingga ke tingkat empat atau lima.

“Jika terdapat lebih banyak parkir di tepi jalan, kesesakan lalu lintas tidak akan menjadi seteruk ini. Namun, buat masa ini, tiada langsung ruang parkir di Jalan Jambu,” katanya. — The Star/ LEE JUNE LING

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram