Tempuhi ribut salji bahaya, juruterbang Bering Air sempat maklum mahu terbangkan pesawat dalam 'holding pattern' sebelum hilang di Alaska


  • Benua
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Kapal terbang Bering Air dilaporkan hilang di Alaska.

SEBUAH kapal terbang dilaporkan hilang di Alaska, Amerika Syarikat (AS) dengan pencarian sudah dimulakan untuk mencari penumpang dan anak kapal.

Kapal terbang Bering Air yang membawa sembilan penumpang dan seorang juruterbang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Unalakleet ke Nome pada Khamis.

Usaha mencari dan menyelamat sudah dimulakan dengan kapal terbang komersial tersebut dikatakan hilang semasa ribut salji melanda.

BACA LAGI: [VIDEO] Bertarung nyawa 12 jam di bawah runtuhan, 3 pekerja maut bangunan di tapak pembinaan haram tiba-tiba runtuh di Sepanyol

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal pekerja kontrak, 'penyek' dihempap kepingan marmar di Brazil

AA1yA02N

Penjejak penerbangan merakam detik pesawat Bering Air dengan 10 penumpang yang dilaporkan hilang di Alaska.

Kapal terbang itu berlepas dari Unalakleet, pekan kecil dengan populasi 690 orang pada 2.37 petang waktu tempatan sebelum gagal dikesan oleh pegawai penerbangan sejam kemudian. Ia tidak dapat dikesan oleh radio 10 minit sebelum waktu kapal terbang itu dijadualkan tiba di Nome.

Usaha mencari kapal terbang itu nyata mencabar kerana tahap penglihatan yang rendah akibat ribut salji yang melanda. Pengawal pantai dan Tentera Udara AS turut membantu dalam mencari pesawat yang hilang itu.

The Indepedent UK melaporkan juruterbang penerbangan komersial itu sempat memaklumkan kawalan trafik udara Anchorage sebelum pesawat hilang.

"Juruterbang pesawat memberitahu kawalan trafik udara di Anchorage yang dia berhasrat untuk memasuki corak penahan iaitu bentuk penerbangan laluan bujur sebelum menunggu pelepasan seterusnya dan 'runway clearance' sebelum pesawat itu hilang," kata pegawai.

bering (1)

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menerusi jalan udara dan darat.

Pesawat Pengawal Pantai C-130 dilengkapi dengan peralatan mencari dan menyelamat khusus yang membolehkan lokasi dalam keadaan penglihatan yang rendah hingga sifar penglihatan, digunakan untuk mencari mereka yang hilang.

"Lokasi sebenar kapal terbang itu masih lagi tidak diketahui. Kami meneruskan dan memperluas usaha mencari ke serata tempat yang boleh sehingga kapal terbang itu ditemui," kata pihak bomba dan penyelamat tempatan pada Khamis.

Pergerakan menerusi udara adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk ke kawasan pedalaman Alaska terutamanya semasa musim sejuk.

Kejadian itu merupakan yang ketiga melibatkan kapal terbang di Amerika Syarikat. Sebelum ini, kapal terbang American Airlines bertembung dengan jet tentera AS yang mengorbankan 67 nyawa.

Dalam kejadian lain, sebuah kapal terbang perubatan terhempas di Philadelphia dengan meragut tujuh nyawa termasuk kesemua enam penumpang dalam kenderaan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram