
SERAMAI lapan orang maut dalam satu kemalangan ngeri membabitkan enam kenderaan di Gerbang Tol (GT) Ciawi, Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada Selasa.
Ketua Unit Trafik Polis Kota Bogor, Komisioner Yudiono berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori dengan muatan air mineral hilang kawalan lalu berpusing sebelum merempuh barisan kenderaan di tol berkenaan yang menghala ke Jakarta.
"Lori hilang kawalan lalu merempuh kenderaan tersebut ketika memasuki jalan tol. Lori sama dan dua kenderaan lain terbakar selepas rempuhan itu.
"Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadamkan," katanya.
Beliau berkata, pelanggaran itu sekali gus menyebabkan kerosakan terhadap tiga lagi kenderaan di lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati jumlah keseluruhan mangsa adalah kira-kira 19 orang dengan lapan daripadanya disahkan meninggal dunia.
Susulan kemalangan itu, sebanyak tiga gerbang tol rosak namun masih dibuka semula secara berperingkat kepada orang ramai walaupun hanya ada satu yang berfungsi secara automatik (GTO).
"Lapan orang maut dan kemudian 11 orang cedera dan kesemuanya dibawa ke Hospital Besar Ciawi.
"Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. Polis masih belum dapat memastikan sama ada ia berpunca daripada kegagalan brek atau faktor lain seperti pemandu mengantuk," tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram