[VIDEO] Siap bagi sijil dan 'goodies', Al-Qassam bebaskan 4 askar wanita Israel


  • Benua
  • Sabtu, 25 Jan 2025

Empat tebusan yang juga anggota tentera Israel yang dibebaskan. — Agensi

KUMPULAN pejuang Palestin, Hamas membebaskan empat tebusan tentera Israel pada Sabtu, bagi pertukaran dengan kira-kira 200 tahanan Palestin yang dipenjara selaras dengan perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan perang 15 bulan di Gaza.

Keempat-empat mereka dibawa ke atas podium di Kota Gaza di tengah-tengah kumpulan besar rakyat Palestin dan dikelilingi oleh puluhan anggota bersenjata Hamas yang dikenali sebagai Al-Qassam.

Dalam video siaran langsung terbabit, tebusan berkenaan dilihat melambai dan tersenyum ke arah orang ramai sebelum dibawa pergi, memasuki kenderaan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan dihantar ke Israel.

Menerusi klip tersebut, mereka juga diberikan sagu hati berupa 'goodies' dan dokumen dipercayai sijil.

BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB

BACA LAGI: Jelajah 20 negara cari ilham, jurugambar amatur Serendah kongsi pengalaman gambar dibeli pelanggan Israel

Tebusan yang dibebaskan itu dikenali sebagai Karina Ariev, Daniella Gilboa, Naama Levy dan Liri Albag.

Sebelum ini mereka ditempatkan di pos pemerhatian di pinggir Gaza dan diculik oleh pejuang Hamas yang menyerbu pangkalan mereka semasa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Di Tel Aviv, ratusan warga Israel berkumpul di lokasi dikenali sebagai Dataran Tebusan, menangis, memeluk dan bersorak ketika proses pembebasan tebusan itu disiarkan di skrin gergasi secara langsung.

Keempat-empat tebusan itu disatukan semula dengan keluarga mereka tidak lama kemudian dengan tentera memaklumkan mereka dibawa ke hospital di tengah Israel.

Kegembiraan di Israel diselubungi kekecewaan selepas pembebasan seorang lagi tebusan awam wanita yang dijangka yang sepatutnya berlaku pada Sabtu tidak terjadi.

Jurucakap tentera Israel berkata, perkara itu melanggar gencatan senjata yang dipersetujui manakala Hamas memaklumkan ia berlaku disebabkan isu teknikal.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, rakyat Palestin di Gaza tidak akan dibenarkan menyeberang kembali ke bahagian utara wilayah itu sehingga isu itu diselesaikan.

Ribuan rakyat Palestin telah berpindah keluar dari utara Gaza semasa perang.

Seorang pegawai Palestin memberitahu Reuters bahawa pihak pengantara sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu.

Hamas berkata, 200 banduan akan dibebaskan pada hari Sabtu sebagai sebahagian daripada pertukaran itu.

Mereka termasuk askar rejim yang disabitkan bersalah menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana penglibatan mereka dalam serangan yang membunuh berpuluh-puluh orang.

Kira-kira 70 orang akan dihantar pulang, kata Hamas.

Pertukaran tebusan dan tahanan pada Sabtu itu merupakan yang kedua sejak gencatan senjata bermula pada Ahad lalu dengan Hamas menyerahkan tiga orang awam wanita Israel sebagai pertukaran untuk 90 tahanan Palestin.

6100516365954826627

Proses pembebasan tebusan itu turut dirakam secara langsung dan disiarkan kepada orang ramai. — Agensi

Dalam fasa enam minggu pertama perjanjian itu, Hamas bersetuju untuk membebaskan 33 tebusan, termasuk kanak-kanak, wanita, lelaki tua dan individu sakit serta tercedera, sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin di penjara Israel, sementara tentera Israel berundur dari beberapa kedudukan mereka di Semenanjung Gaza.

Dalam fasa berikutnya, kedua-dua pihak akan merundingkan pertukaran baki tebusan termasuk tentera, dan pengunduran anggota pasukan Israel dari Gaza, yang sebahagian besarnya berada musnah selepas 15 bulan pertempuran dan pengeboman.

Menurut pihak berkuasa Israel, ekoran pembebasan pada Sabtu, baki 90 tebusan masih kekal di Gaza dengan kira-kira satu pertiga daripada jumlah itu dilaporkan sudah terkorban.

Israel melancarkan kempen perangnya di Gaza berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan 1,200 orang dan membawa lebih 250 tebusan ke Gaza, berdasarkan fakta daripada Israel.

Sejak itu, lebih 47,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah tersebut walaupun angka korban dijangka lebih tinggi.

Israel kehilangan lebih 400 tentera dalam pertempuran Gaza.

Hamas tidak mendedahkan berapa ramai pejuangnya yang tewas.

Israel menganggarkan lebih satu pertiga daripada jumlah kematian di Gaza adalah anggota pejuang Hamas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram