
RANGKAIAN media Al Jazeera pada Jumaat menyiarkan rakaman video dipercayai menunjukkan pergerakan pemimpin Hamas Yahya Sinwar di beberapa lokasi semasa perang di Semenanjung Gaza, kira-kira empat bulan selepas pemimpin itu terkorban dalam pertempuran dengan tentera Israel di Rafah.
Dalam salah satu tangkap layar daripada video diterbitkan, Yahya yang terbunuh pada Oktober tahun lalu dilihat berjalan di medan pertempuran dengan tongkat sambil memakai jaket pelindung badan dan mengenakan selimut bagi menutupi badan serta kepalanya untuk mengelak dikenal pasti musuh.
Pada masa sama, rakaman itu turut menunjukkan tempat di mana Yahya merencana operasi, iaitu di dalam sebuah rumah yang memaparkan coretan perkataan bahasa Hebrew atau Ibrani di dinding yang membawa maksud 'Utara'.
BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB
Menurut laporan Times Of Israel, difahamkan, simbol terbabit merupakan tanda bahawa askar Israel pernah menggunakan kediaman terbabit sebagai tempat operasi ketenteraan.
Menerusi video tersebut, Yahya yang dilihat memakai baju-T sedang melutut di atas lantai bersama seorang individu lain dan menunjuk ke arah peta terbentang di hadapan mereka.
Pada masa sama, beberapa saat di dalam video terbabit juga memaparkan Yahya berdiri memerhati kereta kebal Israel yang berada tidak jauh daripada tempatnya berlindung.
Newly released footage shows the martyr Commander Yahya Sinwar leading battles in Gaza, near Israeli forces! pic.twitter.com/gFF4ogBa7U
— Warfare Analysis (@warfareanalysis) January 24, 2025
Dalam laporan itu, Al Jazeera yang merupakan media dibiayai dari Qatar turut menunjukkan apa dikatakan sebagai arahan ditandatangani pemimpin itu bagi memulakan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 yang kemudiannya mencetuskan peperangan konflik peperangan di Gaza selama kira-kira 15 bulan.
Peperangan di wilayah tersebut mengorbankan kira-kira 1,200 individu di Israel dengan lebih 46,000 lagi individu maut di Gaza.
Israel sebelum ini menuduh Al Jazeera bekerjasama rapat dengan Hamas dan mengatakan bahawa wartawannya di Gaza memberikan bantuan kepada kumpulan pejuang tersebut.
Pada Oktober, Tentera Israel menerbitkan dokumen di Gaza yang dikatakan membuktikan komunikasi dan kerjasama langsung antara rangkaian operasi Al Jazeera dan Hamas, serta dokumen menunjukkan enam wartawan aktif Al Jazeera sebagai ahli kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Al Jazeera yang mendakwa Israel secara sistematik dan sengaja menyasarkan wartawan Al Jazeera yang bertugas di Semenanjung Gaza.
Al Jazeera dilarang daripada bersiaran dari Israel dan baru-baru ini turut digantung oleh Pihak Berkuasa Palestin selepas media terbabit memberikan liputan kritikal terhadap operasi dijalankan kepada beberapa kumpulan pergerakan di kawasan Tebing Barat, Ramallah.
Tangkap layar video siaran Al Jazeera memaparkan Yahya (kanan) sedang merencana operasi kumpulan pejuangnya. — Twitter
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Hamas, dijangka membebaskan empat askar wanita Israel pada Sabtu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza.
Keempat-empat askar wanita tersebut, Karina Ariev, Daniela Gilboa, Naama Levy, dan Liri Albag, bertugas di sebuah pos pemerhatian di pinggir Gaza sebelum diculik oleh pejuang Hamas dalam serangan ke atas pangkalan mereka pada 7 Oktober 2023.
Pejabat media tahanan Hamas memaklumkan 200 tahanan Palestin akan dibebaskan pada Sabtu, termasuk 120 yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 80 lagi dengan hukuman panjang.
Pertukaran itu merupakan kali kedua sejak gencatan senjata bermula pada Ahad lalu. Dalam pertukaran pertama, Hamas membebaskan tiga orang awam Israel sebagai tukaran dengan 90 tahanan Palestin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram