KEBAKARAN hutan besar-besaran di kawasan timur dan barat Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sejak Selasa kini merekodkan angka kematian sekurang-kurangnya 11 mangsa dan memusnahkan 10,000 bangunan.
Jumlah tersebut dilaporkan meningkat selepas anggota bomba menjalankan operasi menyelamat di setiap rumah di kawasan kejiranan itu.
Kebakaran tersebut juga menjejaskan selebriti dan usahawan terkenal, Paris Hilton apabila kediamannya musnah di kaca televisyen.
BACA LAGI: Rumah keluarga rentung, Paris Hilton antara artis Hollywood terjejas tragedi hutan terbakar di LA
BACA LAGI: [VIDEO] Kebakaran hutan LA ragut 5 nyawa, Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan
Selain Paris, produser terkenal Hollywood, James Woods turut terjejas selepas rumah mewah miliknya terbakar, dijilat api dalam kejadian sama.
Tidak dapat menahan sebak apabila mengenang kembali situasi ketika kebakaran itu, James dilihat menangis ketika ditemu bual media antarabangsa, CNN.
"Suatu hari anda berenang di kolam dan keesokan harinya semuanya hilang," katanya dalam nada sebak.
James yang juga dikenali dengan sikap anti-Palestin itu mengimbas semula detik penuh emosi apabila terpaksa menggunakan wang simpanan anak saudara isterinya, Sara Miller-Woods berusia lapan tahun untuk membantu membina semula rumah yang musnah.
Dalam perkembangan terbaharu, James menerusi akaun X pada Sabtu menunjukkan keadaan sekeliling kawasan rumahnya selepas api dipadamkan.
"Satu keajaiban telah berlaku. Kami berjaya sampai di rumah kami yang diberitahu telah hilang selama-lamanya tetapi masih 'berdiri teguh'," tulisnya.
Dalam video itu, kelihatan beberapa kawasan rumahnya yang musnah dan separuhnya dapat diselamatkan.
Terdahulu, pelbagai usaha dilakukan pasukan penyelamat bagi mengelakkan kebakaran menyebabkan kerosakan lebih serius.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran terus merebak menyebabkan seluruh jalan, kereta dan kediaman musnah dalam tempoh amat singkat.
Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral di Los Angeles dalam pada itu mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terkesan dengan insiden berkenaan setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram