[VIDEO] Penyerang bersenjata mati ditembak lepas tikam 4 mangsa di Tel Aviv


  • Benua
  • Rabu, 22 Jan 2025

Polis mengenal pasti penyerang sebagai seorang warga asing berusia 28 tahun, yang ditembak oleh pasukan keselamatan. — Agensi

EMPAT individu parah dalam satu insiden serangan di Tel Aviv, Israel pada Selasa.

Memetik laporan media antarabangsa, serangan itu berlaku di Jalan Nahalat Binyamin yang juga kawasan popular dengan restoran dan hiburan malam.

Penyerang kemudiannya melarikan diri ke Jalan Gruzenberg yang berdekatan dan menikam seorang lagi mangsa sebelum ditembak mati oleh pihak berkuasa.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Doa tembus ke langit', isteri sebak suami rentung ketika kononnya 'outstation' ke Surabaya

BACA LAGI : [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan

Hospital Ichilov memaklumkan tiga mangsa sedang dirawat di hospital tersebut, dengan salah seorang mangsa berada dalam keadaan serius akibat luka tikaman di leher.

Sementara itu, pihak berkuasa Israel mengesahkan penyerang warga asing berusia 28 tahun, ditembak mati di lokasi kejadian oleh pihak polis.

Menurut Agensi Perisikan Israel, Shin Bet, penyerang tersebut memiliki kewarganegaraan Maghribi dan status pemastautin tetap Amerika Syarikat.

Lelaki itu memasuki Israel pada 18 Januari lalu menggunakan visa pelancong.

Walaupun pasukan sempadan dan imigresen mengemukakan bantahan terhadap kemasukannya semasa berada di Lapangan Terbang Ben Gurion, perkhidmatan keselamatan Shin Bet meluluskan kemasukannya selepas penilaian keselamatan dilakukan.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Moshe Arbel, menyatakan bahawa penyerang tersebut telah disoal siasat semasa tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv dan diberi kebenaran untuk memasuki negara tersebut.

Beliau menggesa ketua agensi keselamatan dalaman Shin Bet, Ronen Bar, supaya menyiasat insiden serius itu dan mengambil iktibar secepat mungkin.

Shin Bet menyatakan bahawa penyerang terbabit telah disoal siasat dan menjalani 'ujian tambahan' sebelum dibenarkan memasuki Israel.

"Keputusan dibuat bahawa tiada maklumat yang menunjukkan alasan untuk menghalang kemasukannya ke Israel atas sebab keselamatan," menurut agensi itu, sambil memaklumkan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan.

Tanpa membuat pengakuan rasmi, kumpulan pejuang Palestin, Hamas, dalam kenyataannya memuji serangan itu sebagai 'operasi tikaman berani', yang menunjukkan bahawa tentangan terhadap Israel 'semakin meningkat'.

Kejadian itu merupakan kes tikaman kedua di Tel Aviv dalam tempoh empat hari, menyusuli kes seorang lagi penyerang mencederakan seorang mangsa dengan serius pada Sabtu sebelum ditembak oleh seorang orang awam bersenjata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram