KEBAKARAN dahsyat dilaporkan berlaku di sebuah hotel peranginan ski di pergunungan Bolu, Turkyei, pada awal pagi Selasa yang meragut 76 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh tetamu lain.
Insiden tragis itu memaksa ramai tetamu panik melompat keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri.
Menurut seorang saksi kejadian, Mevlut Ozer, api menyambar dengan sangat cepat dan kebakaran di hotel berlaku dalam masa hanya 30 minit.
“Ia seperti hari kiamat. Api segera melahap bangunan tersebut,” katanya yang berada di pusat peranginan ski Kartalkaya.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa kebakaran bermula sekitar pukul 3.30 pagi di tingkat restoran Hotel Grand Kartal, sebuah bangunan setinggi 12 tingkat.
Kebakaran menyebabkan bangunan kayu tersebut hangus, dengan kain cadar putih yang diikat tergantung dari beberapa tingkap tingkat atas, menunjukkan bahawa tetamu berusaha untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, Presiden Turki, Tayyip Erdogan telah mengisytiharkan Rabu menjadi hari berkabung nasional sebagai penghormatan kepada mangsa.
Seorang pekerja hotel berhampiran, Omer Sakrak menceritakan detik-detik panik ketika insiden tersebut berlaku.
“Orang ramai mula melompat dengan panik. Seorang tetamu hotel melompat dari tingkat 11. Semoga ALLAH merahmatinya.
“Ada yang cuba turun menggunakan cadar, tetapi cadar itu koyak. Malangnya, seorang tetamu terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya.
Dia dalam pada itu sempat menyaksikan kejadian seorang bapa menjerit dan meminta bantuan orang ramai untuk menyambut anaknya yang dilemparkan dari tingkat atas hotel.
"Saya juga melihat seorang ayah menangis sambil menjerit untuk menyelamatkan anaknya yang berusia satu tahun.
"Katanya, saya akan lemparkan anak atau dia akan terbakar,” cerita Omer lagi.
Kebakaran bermula sekitar pukul 3.30 pagi di restoran Hotel Grand Kartal. — Agensi
Ramai tetamu mengadu bahawa mereka melarikan diri melalui koridor yang dipenuhi asap tanpa sebarang amaran bunyi daripada sistem penggera kebakaran.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mengesahkan bahawa terdapat 238 tetamu menginap di hotel tersebut, yang terletak berhampiran kawasan ski terkenal.
Kebakaran itu masih mengeluarkan asap sehingga ke waktu petang, walaupun telah dipadamkan sepenuhnya.
Yerlikaya turut memaklumkan, pihak berkuasa sedang menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti beberapa mayat yang ditemui.
Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku semasa cuti sekolah, ketika ramai keluarga dari Istanbul dan Ankara berkunjung ke kawasan pergunungan Bolu untuk bermain ski.
Sebagai langkah segera, sembilan orang telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Yerlikaya menegaskan bahawa pihak pendakwa raya akan memastikan punca kebakaran dikenal pasti dan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram