[VIDEO] Lebih 3,000 polis kepung kediaman, Presiden Korea Selatan dipecat kena tangkap lepas berminggu berkubu di rumah


  • Benua
  • Rabu, 15 Jan 2025

Suk Yeol (gambar kanan) membuat keputusan untuk menyerah diri bagi disoal siasat untuk mengelak sebarang bentuk keganasan. — Agensi

PIHAK berkuasa Korea Selatan menahan Presiden, Yoon Suk Yeol pada Rabu atas dakwaan cuba melakukan pemberontakan, sekali gus menamatkan kemelut politik yang melanda negara tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Suk Yeol yang sudah dipecat berkata, beliau bersetuju untuk akur kepada siasatan bagi mengelak terjadinya 'pertumpahan darah'.

Sejak penggubal undang-undang mengundi untuk memecatnya ekoran tindakan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, Suk Yeol berkampung di kediamannya di lereng bukit, yang dikawal oleh sekumpulan keselamatan peribadi.

BACA LAGI: Ladang Satelit Ehsan Tani bakal angkat Kampung Sungai Kelambu jadi pengeluar cili terbesar di Kuala Langat

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki selamba selongkar beg, bawa lari kad bank milik pemandu lori di Kajang

Kawalan keselamatan itu juga berjaya menghalang percubaan bagi menangkapnya sebelum ini.

Penangkapan beliau merupakan insiden pertama dilakukan terhadap seorang penyandang presiden, sekali gus menjadikan ia perkembangan terbaru yang semakin merumitkan keadaan terhadap salah satu negara demokrasi paling bebas di Asia walaupun negara itu mempunyai sejarah mendakwa dan memenjarakan bekas pemimpin.

Suk Yeol yang masih mempertahankan dirinya berkata, dia membuat keputusan untuk menyerah bagi disoal siasat untuk mengelak sebarang keganasan selepas lebih 3,000 pegawai polis bergerak ke arah kediaman untuk menangkapnya sejak awal pagi Rabu.

"Apabila saya melihat mereka menceroboh masuk ke kawasan keselamatan menggunakan peralatan memadam kebakaran hari ini, saya memutuskan untuk bertindak balas terhadap siasatan - walaupun ia merupakan siasatan yang menyalahi undang-undang - untuk mengelakkan pertumpahan darah yang tidak menyenangkan," kata pemimpin itu dalam satu kenyataan.

Suk Yeol dilihat tiba di pejabat agensi antirasuah yang mengetuai siasatan pada pagi Rabu sambil dikawal oleh kenderaan pengiring.

Pihak berkuasa kini mempunyai 48 jam untuk menyoal Suk Yeol.

Selepas tempoh tersebut, mereka mesti mendapatkan waran untuk menahannya sehingga 20 hari atau membebaskannya.

Peguam Suk Yeol berhujah bahawa percubaan untuk menahan anak guamnya adalah dilakukan secara tidak sah dan direka untuk mengaibkannya secara terbuka.

GhTVtG8WIAAVfve

Suk Yeol sambil dikawal oleh kenderaan pengiring dilihat tiba di pejabat agensi antirasuah yang mengetuai siasatan pada pagi Rabu. — Twitter

Ketika penyiar berita tempatan melaporkan bahawa penahanan Suk Yeol mungkin berlaku tidak lama lagi, beberapa pergaduhan kecil berlaku antara penunjuk perasaan pro-Suk Yeol bersama polis berhampiran kediaman tersebut, menurut saksi di tempat kejadian seperti dilaporkan Reuters.

Tindak Suk Yeol mengisytihar undang-undang tentera mengejutkan rakyat Korea Selatan, dan menggemparkan negara yang merupakan ekonomi keempat terbesar di Asia.

Perkembangan tersebut membawa kepada tempoh pergolakan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Penggubal undang-undang mengundi untuk mendakwanya dan memecatnya daripada tugas pada 14 Disember lalu.

Secara berasingan, Mahkamah Perlembagaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengekalkan pemecatan itu dan memecatnya secara kekal daripada jawatan atau memulihkan kembali kuasanya bagi memegang jawatan presiden. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram