DALAM dunia yang sering kali sibuk dan penuh tekanan, kita sering kali lupa akan pentingnya hubungan manusia yang tulus dan penuh pengertian.
Di tengah kemajuan teknologi dan kehidupan yang semakin materialistik, ada nilai-nilai sederhana yang kadangkala terabaikan.
Namun melalui novel sulung karya pengarang Korea Selatan, Kim Jiyun, Yeonnam-dong’s Smile Laundromat memberikan peringatan yang menyentuh tentang kekuatan empati dan belas kasihan.
Kim Jiyun (kiri) dan penterjemah dari Singapura, Shanna Tan, membincangkan terjemahan bahasa Inggeris buku tersebut semasa acara di Kuala Lumpur baru-baru ini. — The Star/Faihan Ghani
Berlatarbelakangkan sebuah laundromat (kedai dobi) di tengah-tengah kawasan Yeonnam-dong yang sedang pesat membangun di Seoul, cerita itu mengajak pembaca untuk merenung betapa tindakan kecil penuh kebaikan dapat membawa ketenangan dalam kesibukan hidup.
Dalam satu temu bual baru-baru ini di Kuala Lumpur, Kim Jiyun berkongsi inspirasi di sebalik novelnya, mengingatkan kembali bagaimana satu perjalanan santai di sekitar Hongdae memberi idea yang akhirnya menjadi kisah penuh kehangatan itu.
Laundromat yang menjadi tajuk novel itu menceritakan sebuah dobi layan diri terletak di kawasan kejiranan Yeonnam-dong yang sedang pesat berkembang di Seoul.
Kawasan itu memberi ketenangan dan keselesaan kepada penduduknya yang sedang mencari rehat daripada tekanan hidup harian mereka.
Kim Jiyun, seorang yang sukakan suasana sentimental pada ketika itu terhidu bau yang menyenangkan yang membawanya ke sebuah laundromat di kawasan kejiranan itu semasa musim bunga.
Dari situlah dia mendapat ilham untuk menulis novel tentang bau dan suasana hangat yang ditemui di sana dan pada akhirnya menjadi karya ini.
"Ketika saya berjalan di sekitar kejiranan itu, saya terhidu satu bau yang wangi.
"Saya mengikut bau itu dan ia membawa saya ke laundromat ini.
"Saya memutuskan ketika itu juga untuk menulis sebuah novel tentang bau yang menyenangkan dan suasana yang hangat di sana," katanya.
Novel Yeonnam-dong's Smiley Laundromat mendapat sambutan hangat daripada pembaca Malaysia kerana penceritaannya yang menyentuh hati dan watak-wataknya yang mendalam.
Yeonnam-dong's Smiley Laundromat adalah sebuah naskah yang mengandungi lima cerita.
Setiap cerita menampilkan pelbagai watak antaranya seorang datuk tua bersama anjingnya yang baik hati, seorang pemuzik yang bercita-cita tinggi dan sering busking di jalanan serta sebuah keluarga kecil yang bergelut untuk mencukupkan kehidupan.
Semua perjalanan penceritaan dalam novel itu dihubungkan dengan penemuan sebuah diari misteri berwarna hijau zaitun.
Apabila diari itu ditemukan di laundromat tanpa diketahui pemiliknya, penduduk mula menulis pemikiran dan perasaan mereka di dalamnya secara anonim (merahsiakan identiti).
Tindakan tersebut memberi inspirasi kepada orang lain untuk meninggalkan mesej penghiburan dan nasihat.
Melalui kebetulan dan kebaikan, pelanggan tetap laundromat itu akhirnya menjadi seperti sebuah keluarga.
Apabila peluang untuk menyelesaikan misteri diari hijau zaitun muncul, mereka bekerjasama untuk membantu pemilik asalnya mencari ketenangan.
"Saya mendapat idea untuk watak-watak yang menulis mesej secara anonim dalam diari itu kerana saya sedar bahawa sukar untuk seseorang terbuka tentang perasaan dan kebimbangan mereka.
"Saya mahu watak-watak ini mempunyai tempat untuk benar-benar meluahkan diri dan kebimbangan mereka, saya rasa mereka akan lebih jujur jika mereka boleh melakukannya secara anonim," katanya.
Penulisan novel itu tercetus dari ideanya yang semula jadi dengan mengambil pengalaman di sekeliling.
Dia mengakui bahawa mencipta watak-watak untuk novel tersebut tidaklah sukar kerana mereka adalah orang biasa dengan masalah biasa tetapi dia menghadapi kesukaran dalam mencari jawapan kepada jeritan meminta pertolongan yang ditulis dalam diari itu.
"Walaupun masalah mereka biasa, jawapan kepada masalah itu tidak boleh biasa. Itulah sebabnya saya sangat berhati-hati dan memikirkan dengan teliti mesej dalam diari dan balasannya," tambahnya.
Kebaikan dan keburukan gentrifikasi
Bagi Kim Jiyun, memilih untuk menetapkan novel itu di Yeonnam-dong adalah sesuatu yang semula jadi kerana dia dibesarkan di Hongdae, kawasan yang berdekatan.
“Saya mahu mencipta kontra antara yang lama dan yang baru, itulah sebabnya saya memilih kawasan ini.
"Yeonnam-dong dulu sebuah kawasan yang tenang tetapi lama-kelamaan ia dan Hongdae menjadi tarikan pelancong yang popular.
“Memang seronok melihat lebih ramai pengunjung menghargai kawasan ini, tetapi ia juga terasa sayu.
“Rumah-rumah dirobohkan dan dibina semula menjadi kedai, kafe dan restoran, sementara ramai penduduk lama terpaksa berpindah kerana sewa yang semakin mahal," kata Kim Jiyun yang masih bekerja di studionya di Hongdae.
Bertemakan 'lama berbanding baru' terlihat dalam ketegangan antara Old Jang, yang menghargai kehidupan di Yeonnam-dong manakala anaknya, Daeju, seorang pakar bedah plastik pertengahan umur dengan cita-cita tinggi yang percaya bapanya harus menjual rumah keluarga mereka yang semakin usang.
Wawancara bersama penulis novel Yeonnam-dong's Smiley Laundromat, Kim Ji Yun.
Bahasa sejagat
Di Korea Selatan, Yeonnam-dong's Smiley Laundromat sudah menjadi bestseller, malah menginspirasi sebuah muzikal yang mendapat pujian dan kini sedang dipentaskan.
Namun, apabila novel berkenaan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh penterjemah Singapura, Shanna Tan, Kim Jiyun tidak pasti apa yang boleh diharapkannya.
"Saya pernah mendengar tentang terjemahan buku bestseller Korea ke dalam bahasa Inggeris yang mendapat sambutan baik di negara-negara berbahasa Inggeris tetapi kerana ini adalah buku pertama saya, saya tertanya-tanya jika ia akan mendapat sambutan yang baik atau tidak," kongsinya.
Kim Jiyun yang baru-baru ini melawat Singapura dan Malaysia untuk lawatan buku serta menyaksikan karyanya mencapai status bestseller antarabangsa, menggambarkan pengalaman itu sebagai tidak disangka-sangka olehnya.
Dia berkongsi keterujaannya terhadap sambutan yang diterima sambil mendedahkan bahawa terjemahan bahasa Inggeris bukunya sudah dipersetujui untuk diterbitkan di 17 negara dan merupakan satu pencapaian yang tidak pernah dibayangkannya ketika mula menulis.
Dia berkongsi keterujaannya terhadap sambutan yang diterima iaitu terjemahan bahasa Inggeris bukunya sudah dipersetujui untuk diterbitkan di 17 negara.
"Saya fikir saya menulis tentang perasaan yang biasa di Korea tapi apabila orang dari negara lain juga merasainya, saya sedar kita semua sebenarnya saling berhubung.
"Walaupun jauh dan berbeza, ada perkara yang kita semua kongsi," katanya dengan senyuman penuh syukur.
Pada bulan Jun lalu, Kim Jiyun melancarkan novel keduanya, See You Again, sebuah cerita yang menyentuh hati tentang sebuah kedai makan dosirak (bekal makanan) yang sederhana di kawasan sibuk Hyehwa-dong.
Novel penulisannya terus meneroka tema komuniti dan hubungan manusia dan akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris serta diterbitkan di Britain menandakan langkah seterusnya dalam pengembangan pengaruh antarabangsanya.
Kim Jiyun mendedahkan bahawa novel ketiganya akan memasuki alam fantasi dengan nuansa seperti Disney membuka bab baru dalam perjalanan sasteranya.
Bagi peminat Yeonnam-dong's Smiley Laundromat, dia memberi petunjuk bahawa sebuah buku susulan mungkin akan mendedahkan pemilik misteri laundromat dan kisah mereka.
"Saya berharap selepas membaca Yeonnam-dong's Smiley Laundromat, pembaca akan berasakan ruang ketenangan dan penghiburan dalam hati mereka," katanya. — The Star/ HANIS MAKETAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram