PENGUNJUNG menyaksikan detik-detik cemas kemalangan melibatkan seorang jurupandu ketika melakukan aktiviti parasailing di Pantai Karon, Phuket, Thailand pada 5 Januari lalu.
Menerusi video tular di media sosial sejak Sabtu, jurupandu itu bersama seorang pengunjung pada awalnya berada di udara.
Namun, beberapa saat kemudian, kelihatan seorang daripadanya yang dipercayai jurupandu itu terjatuh dan terjunam ke dalam air.
BACA LAGI: 'Rugi kalau tak dimanfaat', penulis akui tak boleh lari guna AI, bantu cepat proses hasilkan buku
Menurut saksi, angin kencang menjadi punca jurupandu terbabit terlepas cengkaman tali lalu terjatuh ke dalam air laut dari ketinggian 50 meter (m).
Mangsa yang dikenali sebagai Pathompong, 31, kemudiannya dilaporkan cedera parah apabila mulut dan hidungnya berdarah ketika diselamatkan.
Usaha untuk menyelamatkannya dilakukan serta-merta oleh pasukan parasailing lain yang berada di bot sebelum membawanya ke hospital berdekatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Chalong, Thailand.
Menurut sumber, kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku, malah terdapat beberapa insiden sama pernah terjadi beberapa kali sebelum ini.
Berikutan insiden tersebut, syarikat parasailing dilaporkan mempunyai kaitan dengan ahli politik tempatan di Karon dan sudah membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa sebanyak RM6,400 (50,000 Baht) untuk membantu urusan pengebumian.
Susulan itu, pihak berkuasa tempatan termasuk wakil dari Pejabat Pelancongan dan Sukan Phuket, Perbandaran Karon serta Polis Karon menjalankan siasatan bersama ke atas kejadian tersebut.
Ahli Parlimen Phuket, Chalermpong Saengdee pada masa sama menggesa siasatan menyeluruh terhadap keadaan sekitar kejadian itu dilakukan.
Beliau turut menyatakan bahawa agensi berkaitan sudah ditugaskan untuk mencadangkan langkah keselamatan baharu bagi mengelak kejadian sama berlaku lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram