SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya di Jalan Bypass, Lahad Datu, Sabah pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang membuat laporan di Balai Polis Lahad Datu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian yang turut tular di media sosial itu disebabkan ketidakpuasan hati berkenaan kemalangan yang berlaku sebelum itu.
BACA LAGI: Tiada lagi jualan, kenderaan guna NGV mulai Julai 2025
“Punca kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati dengan kemalangan yang berlaku sehingga tercetus pergaduhan antara mereka.
“Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya lagi, polis berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan dan kini sedang berusaha mengesan lain-lain suspek yang masih bebas dalam kejadian ini.
Pada masa sama, Jimmy menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga ketenteraman awam dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan lanjut.
“Sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes, Sarjan Fitzeraldfield Anak Sudy di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Meninjau ruangan komen, ramai warga maya berpendapat bahawa punca pergaduhan tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca yang panas.
"Memang kalau cuaca panas tidak dapat tahan itu marah," kata Adam Daniel.
"Tengok cuaca pun sudah tahu, memang mahu bergaduh sajalah jawapannya," kata Azrul Matahir.
"Panas sangat di Sabah, sebab itu mahu bergaduh," kata Pipit Tatap. — The Star/SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram