Peras ugut rakyat Malaysia lebih RM80,000 di festival muzik, 18 anggota polis Indonesia ditahan


  • Benua
  • Ahad, 22 Dis 2024

DWP sebelum ini dalam satu kenyataan mengakui mengenai kejadian itu dan menyatakan kekesalan terhadap insiden yang dialami oleh pengunjung. — Agensi

POLIS Indonesia menahan 18 anggotanya disyaki terlibat dalam kes peras ugut terhadap pengunjung termasuk rakyat Malaysia yang menghadiri festival muzik Djakarta Warehouse Project (DWP) pada 15 Disember lalu.

Menurut laporan Detik.com, kesemua pegawai terbabit terdiri daripada pelbagai unit termasuk Polis Wilayah Metropolitan Jakarta, Polis Metropolitan Jakarta Pusat, dan Balai Polis Metropolitan Kemayoran.

Berdasarkan laporan berasingan, seorang rakyat Malaysia yang berada di festival berkenaan didakwa ditarik ke tepi dengan pasportnya dirampas oleh beberapa anggota polis.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

“Ketika itulah peras ugut berlaku, kerana rakan mangsa terpaksa menyerahkan sejumlah wang untuk mendapatkan semula pasport yang dirampas,” kata Ketua Biro Penerangan Awam Bahagian Perhubungan Masyarakat Polri, Brigedier Jeneral Polis. Trunoyudo Wisnu Andiko, seperti dilaporkan Tribunnews pada Jumaat.

Dalam pada itu, siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh Polis Indonesia untuk menentukan tindakan tatatertib atau undang-undang sewajarnya terhadap pelaku.

DWP sebelum ini dalam satu kenyataan mengakui mengenai kejadian itu dan menyatakan kekesalan terhadap insiden yang dialami oleh pengunjung.

"Walaupun aspek tertentu situasi tersebut berada di luar kawalan kami, kami memahami sepenuhnya kesannya terhadap anda," menurut kenyataan itu dalam satu hantaran di Instagram rasmi mereka pada Rabu.

Kenyataan yang disiarkan di laman sosial mereka menerima komen daripada pengunjung yang turut melahirkan kekecewaan mereka.

Seorang pengguna, @zainal_rahman68 berkata, dia menghadiri festival itu selama lebih 10 tahun dan menyatakan pengalaman pada kali ini adalah satu mimpi ngeri.

Dia turut mendakwa hotelnya diserbu pada malam kedua festival berkenaan.

"Mereka membawa kami ke ibu pejabat dan melakukan lakonan yang cukup baik untuk memeras sehingga 300 juta rupiah (kira-kira RM83,600) daripada kami.

"Saya sukakan Indonesia, tetapi saya tidak akan menghadiri DWP lagi," katanya.

Seorang lagi pengguna, @mzhy88, menyatakan bahawa dia pergi ke festival itu untuk berseronok dan menikmati makanan tetapi tidak akan kembali tahun depan.

Dia berasa cukup tidak selesa semasa acara itu dan mendakwa bahawa acara itu seakan-akan menjadi tempat untuk polis memeras wang.

Pengguna @paulahadji berkata, dia hanya berasa selamat selepas pulang ke Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram