Pandu lebih had laju, cuaca buruk punca treler ATM terbabas di Genting Sempah — Panglima Tentera Darat


  • Primer
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Sebuah treler milik ATM dilaporkan terbabas hingga mengakibatkan kemalangan kesesakan teruk di KM 35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak pada 7 November lepas.

KEMALANGAN melibatkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada awal November di Genting Sempah, Pahang berpunca daripada cuaca buruk dan kecuaian.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, siasatan yang dilakukan oleh pihaknya menyimpulkan dua perkara tersebut sebagai punca kejadian.

Tambahnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kecuaian yang dilakukan oleh anggotanya dan tindakan akan diambil kepada pihak terlibat.

BACA LAGI: [VIDEO] Treler ATM bawa muatan 2 kereta kebal tergelincir, trafik di Lebuhraya KL-Karak sesak

BACA LAGI: [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin

"Faktor pertama adalah cuaca basah yang menyebabkan jalan licin. Satu lagi adalah kecuaian melibatkan pemandu kenderaan yang memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan oleh prosedur operasi standard (SOP).

"Pergerakan konvoi tentera mempunyai SOP ketat yang mesti dipatuhi. Oleh itu, kami akan mengambil tindakan ke atas anggota atau pegawai yang terlibat mengikut peraturan ketenteraan," katanya.

Pada 7 November, sebuah treler milik ATM dilaporkan terbabas hingga mengakibatkan kemalangan kesesakan teruk di Kilometer (KM) 35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak.

Treler itu membawa muatan dua kereta kebal hancur teruk di bahagian depan. ATM mengalami kerugian sebanyak RM182,000 akibat kemalangan tersebut.

"Sebahagian daripada SOP yang ditetapkan adalah konvoi mesti bergerak dan dipandu mengikut kelajuan yang ditetapkan.

"Kami perlu memastikan keselamatan aset, oleh itu kami mestilah amat berhati-hati.

"Kami akan membaikinya (treler), tapi kereta kebal tidak mengalami sebarang kerosakan," ujarnya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram