SELEPAS beberapa bulan mendirikan rumah tangga, Pengadilan Agama Jakarta Selatan muktamad memutuskan pernikahan selebriti popular Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini Raharja tidak sah di sisi undang-undang.
Hasil pemeriksaan daripada majlis hakim mengambil keputusan pernikahan yang dilaksanakan mendapati salah satu rukun nikah tidak memenuhi syarat.
Humas Pengadilan Agama Jakarta Selatan, H. Suryana, berkata satu rukun nikah yang dijalankan semasa ijab kabul pada 10 Mei 2024 tidak dipenuhi iaitu berkaitan dengan status wali pernikahan.
BACA LAGI : [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara
"Wali nikah yang menikahkan Rizky dengan Mahalini adalah seorang ustaz, tetapi pemilihan individu terbabit bertentangan peraturan ditetapkan dalam undang-undang.
"Setelah dia (Mahalini) mualaf kemudian bernikah, secara automatik memang orang tua pengantin perempuan juga bukan muslim, di situ bermaksud walinya bukan orang tuanya.
"Melalui maklumat yang kami terima mendapati individu yang menikahkannya adalah seorang ustaz dan dengan menamakan dirinya sebagai wali hakim,” ujarnya.
Rizky dan Mahalini bernikah dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Raffles, Jakarta Selatan, Indonesia, pada 10 Mei lalu. — Agensi
Sehubungan itu, katanya, menurut undang-undang perkahwinan, bagi mereka yang tidak mempunyai wali, maka wali hakim akan dilantik.
"Tetapi, dalam kes perkahwinan Rizky Febian dan Mahalini, wali perkahwinan yang dilantik tidak memenuhi kriteria, menyebabkan perkahwinan mereka dianggap tidak sah," katanya.
Jelas beliau lagi, dalam undang-undang perkahwinan terdapat dua wali nikah, iaitu wali nasab dan wali hakim. Untuk wali nasab, Mahalini tidak dapat memenuhinya kerana ayahnya bukan muslim.
"Manakala wali hakim harus diputuskan oleh Pengadilan Agama. Wali yang menikahkan pada waktu itu bukanlah wali nasab dan juga bukan wali hakim seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
"Oleh kerana rukun perkahwinan tidak dipenuhi, Rizky Febian dan Mahalini perlu berkahwin semula dengan wali yang betul serta mengikut undang-undang perkahwinan supaya perkahwinan mereka dapat diiktiraf secara rasmi oleh negara.
“Jika rukun perkahwinan tidak lengkap, perkahwinan itu dianggap tidak sah. Jadi, jalan penyelesaiannya menurut undang-undang adalah mereka perlu berkahwin semula,” kata Suryana. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram