SEORANG guru ditemukan mati dalam keadaan tragis di kebun kelapa sawit di Desa Kaksi, Kecamatan Tapung Hulu, Kabupaten Kampar, Indonesia pada Jumaat.
Ketua Polis Sektor Tapung Hulu, Inspektor Wel Etria berkata, mayat mangsa ditemukan pengawal keselamatan kebun, Ali Azhar, sekitar pukul 3.30 petang (waktu tempatan).
Difahamkan, ketika itu Ali Azhar sedang membuat rondaan di Blok JK 7, Afdeling V, Kebun Tandun, namun dia terkejut apabila melihat sebuah motosikal terjatuh di tengah-tengah kebun.
Apabila menghampiri lokasi, Ali melihat mayat seorang guru, Heri Aprianus, dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher serta lecuran dipercayai akibat dibakar.
Susulan penemuan itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah (Satreskrim) Polis Kampar, Penolong Pesuruhjaya Polis Elvin Septian Akbar berkata, pihak polis segera menjalankan siasatan lanjut.
"Kami masih menunggu keputusan bedah siasat. Polis Tapung Hulu telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian (TKP) dan menyoal beberapa saksi," jelasnya.
Elvin berkata, kematian guru berusia 30 tahun itu dipercayai akibat dibunuh, namun suspek masih belum dapat dikesan.
"Proses bedah siasat di Hospital Bhayangkara diharapkan dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai punca kematian mangsa," katanya.
Mangsa, lulusan Sarjana Muda Pendidikan Guru Sekolah Rendah (PGSD) dikenali sebagai seorang guru yang berdedikasi.
Kematiannya meninggalkan seorang isteri, Rasmi Siburian dan anak lelaki mereka yang berusia satu tahun, Boy Yunus Saragih. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram