[VIDEO] Rakaman suspek dipercayai tetak lelaki hingga maut di Kuching mula tular lepas 3 lelaki ditahan reman


  • 112
  • Isnin, 02 Dis 2024

Tangkap layar sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dengan satu kejadian bunuh di dalam bilik sebuah apartmen di Jalan Sungai Tapang dekat Kuching, Sarawak pada Ahad.

TULAR satu video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dengan satu kejadian bunuh seorang lelaki di dalam bilik sebuah apartmen di Jalan Sungai Tapang dekat Kuching, Sarawak pada Ahad.

Dalam video berdurasi lebih seminit tersebut memaparkan sekumpulan lelaki membawa senjata tajam memecah masuk ke kawasan rumah mangsa.

Kesemua lelaki terbabit dilihat menggunakan pelitup muka bagi menyembunyikan identiti mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori dipandu hilang kawalan sebelum rempuh tanker minyak di Dengkil

BACA LAGI: Tinggal berseorangan di Kulai, warga emas ditemukan maut dengan kesan tikaman

Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, Dysebella Sho mendakwa sekumpulan lelaki tersebut telah memecah masuk rumah mangsa sebelum membunuhnya dengan kejam.

"Kejadian bunuh yang berlaku di Jalan Sungai Tapang dekat Kuching.

"Mangsa, dikenali sebagai 'Si Hitam' dari Miri, telah diserang secara kejam oleh lebih 10 lelaki bertopeng yang menceroboh masuk ke kediamannya.

"Mangsa mati dalam keadaan ngeri akibat ditetak sehingga maut," tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan dua pemuda ditahan reman tujuh hari sementara seorang lagi direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kejadian tersebut.

Majistret Ling Hui Chuan membenarkan permohonan tahanan reman terhadap pemuda berusia antara 22 hingga 25 tahun itu bermula Isnin setelah mendengar permohonan daripada polis yang memohon tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Dua suspek terbabit diperintah dihadapkan semula di mahkamah pada 9 Disember ini sementara seorang lagi pada 6 Disember, untuk tindakan selanjutnya.

Suspek ketiga berusia 25 tahun diwakili peguam Voon Lee Shan sementara dua lagi suspek masing-masing berusia 22 tahun tidak diwakili peguam.

468834531_909994317900596_2165438180318536635_n

Mangsa maut di tempat kejadian akibat daripada kecederaan parah yang dialaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.40 pagi Ahad dan mengarahkan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah telah ke lokasi kejadian.

"Tiba di lokasi kejadian, polis menemukan mangsa terbaring di dalam sebuah bilik di unit apartmen tersebut dengan kesan tetakan pada bahagian badan.

"Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi.

"Susulan kes pembunuhan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Irwan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Asisten Komissioner Sylvarius Gopog di talian 013-863 7241. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram