POLIS kini sedang memburu suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan dan cubaan membunuh di sebuah kawasan perumahan pekerja ladang di Kinabatangan, Sabah susulan kejadian seorang lelaki maut ditetak di leher, manakala seorang lagi parah ditikam di dada semasa pertengkaran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Jumaat itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Christian Andi, 30 tahun, manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Bernadus Bagalewok, 24 tahun.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Beluran, Asisten Superintenden Mohd Zulfikar Abd Salam, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital Telupid pada pukul 2.06 pagi Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Pecahkan cermin kereta orang, rakan ajak mangsa 'settle' dekat balai polis di Ampang
BACA LAGI: Menantu contoh bergadai nyawa harungi banjir 100 meter di Paka demi bapa mentua lumpuh
Beliau dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pihak hospital telah memaklumkan kepada polis bahawa dua mangsa lelaki sedang dihantar untuk rawatan, yang mana seorang daripadanya disahkan mati, manakala seorang lagi cedera parah akibat tikaman.
“Siasatan awal mendapati pada hari kejadian, ketiga-tiga mereka menghadiri majlis sambutan hari lahir anak rakan sekerja mereka di ladang berkenaan sekitar pukul 6.30 petang hingga 9 malam.
“Pada pukul 11 malam, berlaku kekecohan sehingga terjadi pergaduhan melibatkan suspek dengan mangsa yang maut di mana suspek telah menyerang mangsa sehingga mendapat kecederaan di leher," katanya.
Katanya lagi, seorang lagi mangsa yang tinggal berhadapan dengan rumah suspek terdengar kekecohan di luar rumah telah bertindak keluar dari rumahnya.
"Mangsa kemudian melihat suspek keluar dari dalam rumah sambil memegang pisau dan terus meluru ke arahnya lalu terkena tikaman di tengah dada.
"Mangsa sempat menendang suspek selepas ditikam menyebabkan suspek terjatuh, mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan suspek terus melarikan diri bersama pisau yang digunakan," katanya.
Mohd Zulfikar berkata, mangsa yang maut sempat melarikan diri ke arah rumah pekerja di blok berhampiran dengan jarak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian untuk meminta bantuan.
"Namun mangsa telah rebah di kerusi depan rumah tersebut dan dipercayai telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di bahagian leher akibat dikelar.
“Sementara itu, mangsa yang cedera di dada pula dibawa ke hospital dan kini dirawat di Hospital Duckess of Kent, Sandakan serta dalam keadaan stabil," katanya.
Tambah Mohd Zulfikar lagi, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan.
"Siasatan juga mendapati suspek dan mangsa dipercayai mabuk selepas minum minuman beralkohol. Pihak polis sedang giat memburu suspek berusia 40-an yang juga merupakan pekerja ladang di kawasan tersebut,” ujarnya. — The Star/STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram