GTSM nafi dakwaan teksi terbakar di Merlimau berpunca daripada kebocoran tangki gas NGV


  • Massa
  • Khamis, 28 Nov 2024

Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian selepas kereta yang mereka naiki musnah terbakar selepas merempuh tembok jambatan di Jalan Kampung Seri Lanchang, Merlimau.

GABUNGAN Teksi Malaysia (GTSM) menafikan dakwaan kononnya berlaku kebakaran membabitkan sebuah kenderaan teksi di Kampung Seri Lanchang, Merlimau, Melaka pada Khamis berpunca daripada kebocoran tangki gas asli mampat (NGV).

Presidennya, Kamarudin Hussain menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan meminta semua pihak menunggu laporan rasmi daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kami dari GTSM menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya kemarakan kebakaran yang berlaku dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan teksi di Melaka berpunca daripada kebocoran tangki NGV yang dipasang di dalam kenderaan terbabit," tegasnya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Jurugambar rakam majlis aspirasi SMK Ayer Molek sayu, tak sangka gambar Faiz Amran tinggal kenangan

BACA LAGI: [VIDEO] Bebola mata kiri dikorek warga asing, mangsa kini buta seumur hidup

WhatsApp Image 2024-11-14 at 9.31.19 PM

Presiden GTSM, Kamarudin Hussain.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kemalangan ngeri yang meragut nyawa tiga individu selepas kereta mereka yang dikuasakan dengan NGV merempuh tembok jambatan di jalan berkenaan sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut musnah terbakar.

Beliau menambah, NGV direka dengan standard keselamatan tinggi dan jarang terbakar.

"NGV tidak mudah terbakar seperti gas petroleum cecair (LPG), tetapi kalau kenderaan terbabit menggunakan LPG, Insya-ALLAH kami boleh percaya dengan dakwaan tersebut," jelasnya.

Menurut Kamarudin, pihaknya berharap JBPM akan mengeluarkan laporan rasmi segera bagi merungkai punca sebenar kebakaran.

“Kami yakin kemarakan api dalam kebakaran teksi itu bukan berpunca daripada NGV," ujarnya.

Justeru, beliau menyeru masyarakat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan selesai dijalankan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terbabit.

"Kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang terlibat dalam sebuah kemalangan membabitkan sebuah kenderaan teksi di Kampung Lanchang.

Terdahulu, Majoriti melaporkan, tiga individu yang maut itu ialah pemandu, S Subbramaniam, 71, dan penumpang, Husali Umar, 84, dan isterinya, Mastura Said, 60.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, polis menerima laporan daripada orang awam pukul 9.30 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi untuk melakukan siasatan.

"Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila teksi yang dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Merlimau dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan.

"Akibat perlanggaran itu kereta mengalami kebakaran dan menyebabkan semua mangsa terbakar seluruh badan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram