[VIDEO] Penumpang cemas enjin Sukhoi Superjet 100 terbakar ketika mendarat di Turkiye


  • Benua
  • Isnin, 25 Nov 2024

Tangkap layar penumpang menyelamatkan diri selepas enjin sebuah pesawat Rusia yang membawa 95 orang terbakar selepas mendarat di Lapangan Terbang Antalya di selatan Turki pada hari Ahad. — Agensi

ENJIN sebuah pesawat Rusia yang membawa 95 orang terbakar selepas mendarat di Lapangan Terbang Antalya di selatan Turki pada hari Ahad.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Turki, kesemua penumpang dan kru pesawat Sukhoi Superjet 100 milik syarikat penerbangan Azimuth Airlines Rusia berjaya dipindahkan dengan selamat.

"Pesawat tersebut berlepas dari Sochi dan membawa 89 penumpang serta enam kru.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati kalah main pickleball, lelaki 'head kick' pemain lawan di Mexico

BACA LAGI: [VIDEO] Kami reda kehilangan Naura, arwah adalah satu-satunya anak tunggal kakak saya — Ayah saudara

"Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih belum diketahui," menurut kenyataan tersebut.

Turut tular beberapa video dan gambar insiden berkenaan yang dirakam oleh orang awam.

Melalui satu video yang dimuat naik oleh laman berita penerbangan Airport Haber menunjukkan api marak di bahagian kiri pesawat ketika pasukan kecemasan menyembur air ke arah pesawat tersebut.

Penumpang dilihat keluar dari pesawat melalui gelongsor kecemasan, dengan sebahagian daripada mereka membawa barangan peribadi.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa usaha sedang dilakukan untuk mengalihkan pesawat tersebut dari landasan.

Ketibaan di lapangan terbang ditangguhkan buat sementara waktu, manakala pelepasan pesawat dijalankan melalui landasan yang dikendalikan pihak tentera.

Juruterbang membuat panggilan kecemasan sejurus selepas pesawat mendarat pada pukul 9:34 malam waktu tempatan. Pasukan penyelamat dan bomba lapangan terbang bertindak pantas memadamkan kebakaran, menurut kenyataan itu. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram