RUSIA melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) ke Ukraine, iaitu tindakan pertamanya menggunakan senjata tersebut di medan perang, kata tentera udara Ukraine.
Kepala peledak senjata itu dilengkapi dengan muatan bukan nuklear dan disasarkan ke bandar Dnipro, Ukraine.
Tentera udara Ukraine dalam satu kenyataan berkata, bandar terbabit diserang oleh 'peluru berpandu pelbagai jenis', termasuk ICMB yang 'dilancarkan dari Astrakhan, iaitu wilayah Persekutuan Rusia'.
BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB
Dalam kenyataan itu, tentera udara Ukraine berkata, beberapa peluru berpandu lain dilepaskan ke arah bandar berkenaan dengan mereka dapat menembak jatuh enam daripadanya.
Dakwaan Ukraine mengenai penggunaan ICBM oleh Rusia hadir susulan peningkatan terhadap konflik perang tersebut selepas Amerika Syarikat (AS) akhirnya membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh, dikenali sebagai ATACMS, ke sasaran di Rusia.
Presiden Rusia, Vladimir Putin. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, United Kingdom turut memberi Ukraine kebenaran menggunakan peluru berpandu Storm Shadow jarak jauh, dengan tentera Ukraine sejak itu menggunakannya pada sasaran ke dalam wilayah Rusia.
Ukraine sekian lama sudah meminta kebenaran untuk menggunakan peluru berpandu ke arah sasaran di dalam Rusia.
Menjawab soalan mengenai penggunaan ICMB di Ukraine, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu pemberita bahawa dia 'tiada sebarang maklumat untuk dikongsikan'.
Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu sepatutnya diajukan kepada pihak tentera Rusia.
URGENTE primeros videos del ataque Ruso en Ucrania con misiles Intercontinentales, antes de impactar se dispersaron al menos 6 ojivas. El objetivo estaba dirigido a infraestructura crítica en Dnipro.
El ataque fue confirmado por la Fuerza Aérea de Ucrania. pic.twitter.com/ImLSDuTmcv
— Caoz (@Caoz_ES) November 21, 2024
Selepas AS memberi kebenaran kepada Ukraine menggunakan ATACMS terhadap sasaran di Rusia, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata, bahawa negaranya telah mengemaskini doktrin nuklear mereka.
Akibatnya, mereka akan menganggap sebarang serangan daripada negara bukan nuklear yang datang dengan sokongan negara kuasa nuklear sebagai serangan bersama.
Walaupun pihak Ukraine menyatakan bahawa serangan peluru berpandu dilakukan Rusia tidak mengandungi muatan nuklear, tindakan terbaharu itu dianggap merupakan demonstrasi bahawa Rusia mempunyai keupayaan menembak peluru berpandu yang boleh membawa kepala peledak nuklear dan menyerang sasaran hampir di mana-mana di dunia.
AS baru-baru ini memberikan kebenaran kepada Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh, dikenali sebagai ATACMS, ke sasaran di Rusia. — Agensi
Putin sebelum ini mendakwa negara NATO membenarkan Ukraine menggunakan senjata untuk menyerang sasaran di wilayah Rusia.
Ujarnya, tindakan itu boleh dianggap bahawa NATO turut menyertai perang berkenaan.
AS juga baru-baru ini membekalkan Ukraine dengan senjata periuk api dalam usaha untuk memperlahankan kemaraan Rusia.
Pada masa sama, Kremlin turut berulang kali cuba meningkatkan konflik termasuk membawa masuk tentera Korea Utara bagi meningkatkan jumlah anggota tentera mereka.
Presiden Ukraine. Volodymyr Zelensky baru-baru ini berkata bahawa negaranya akan kalah dalam perang jika AS menarik dana diberikan, dengan masa depan konflik terbabit semakin menjadi tanda tanya berikutan kemenangan parti Republikan dalam pilihan raya AS.
Presiden AS yang dilantik, Donald Trump mendakwa beliau akan menamatkan perang tersebut dalam masa 24 jam, walaupun tidak memberikan butiran tentang bagaimana ia akan dicapai.
Pada masa sama, terdapat kebimbangan bahawa hubungan rapatnya dengan Putin akan menyebabkan beliau menghentikan sokongan terhadap Ukraine. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram